KLUANG – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cabul seorang wanita tempatan di Jalan Gunung Lambak di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.57 pagi ketika mangsa berjalan kaki ke tempat kerjanya.
“Mangsa dipercayai dicabul oleh lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.
“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati suspek datang dari arah belakang dan bertindak menyentuh punggung mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Bahrin, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kluang (IPD) Kluang berjaya menangkap lelaki terbabit.
“Suspek yang dipercayai merupakan seorang duda tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan ujian air kencing didapati negatif.
“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula pada Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.