KUALA SELANGOR – Naluri seorang bapa merasakan sesuatu perkara buruk menimpa anak lelakinya ternyata benar apabila remaja itu maut apabila digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 36 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pada Isnin.
Rosli Othman, 48, berkata, perasaannya mula curiga selepas seorang kenalan menghubunginya memaklumkan terdapat kemalangan membabitkan anak saudaranya.
Bagaimanapun, katanya, sejurus tiba di tempat kejadian, dia hampir pengsan apabila melihat Allahyarham anaknya, Muhammad Rosshah Nizam,21, sudah tidak bernyawa.
“Masa terima maklumat mengenai kemalangan itu, hati saya kuat mengatakan bukan anak saudara terlibat kemalangan kerana mereka kebanyakannya sudah berkahwin dan duduk jauh.
“Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, seluruh badan saya menggeletar dan kelu tidak terkata apabila melihat orang awam keluarkan arwah dari bawah kenderaan MPV terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Rosli, kejadian itu berlaku semasa Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Pasir Tuntong ke tempat kerjanya di Jeram di sini.
“Arwah baru saja keluar dari rumah kami, namun tak sampai beberapa minit dia sudah pergi buat selamanya.
“Arwah anak yang baik dan rapat dengan saya, dia tidak banyak bercakap namun senang apabila meminta bantuan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tanda pemergian Allahyarham Muhammad Rosshah melainkan pernah menyatakan hasrat untuk mengikuti konvoi bersama rakan.
“Saya tidak nampak sebarang perubahan pada arwah, namun dia ada beritahu hendak ke Melaka dan Ipoh pada hujung bulan ini, namun hasratnya tidak kesampaian,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai kes kemalangan meragut nyawa anaknya itu, Rosli berkata, pihak keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebabkan anaknya itu maut.
“Kami menunggu hasil siasatan polis dan jika benar anak saya tidak bersalah, kami mahu membawa isu ini ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan,” jelas Rosli.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 digilis sebuah kenderaan MPV di sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin berkata, siasatan awal polis mendapati penunggang motosikal terlibat kemalangan dengan sebuah kereta menyebabkannya terjatuh dan memasuki laluan kenderaan MPV di sebelah kiri arah sama.
MPV yang berada di belakang tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit menyebabkan mangsa digilis dan berada di bawah kenderaan MPV berkenaan.
Polis sehingga kini masih mengesan pemandu kereta kerana telah meninggalkan lokasi sebaik pelanggaran awal berlaku.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.