Pendakwaan faham keluarga mahu bersihkan nama Daim, tapi ini takdir – TPR

Toh Puan Naimah Abdul Khalid (tengah) kelihatan hadir pada sebutan kes Allahyarham suaminya, Tun Daim Zainuddin di kompleks Mahkamah KL pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa pihaknya memahami niat ahli keluarga, mahu membersihkan nama bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berharap, ahli keluarga Daim berlapang dada selepas pemergian tokoh korporat itu pada Rabu minggu lalu.

“Kita perlu move on, inilah dinamakan takdir, jika mereka mahu meneruskan pertuduhan kes, mahkamah perlukan jasad atau ada pihak yang dituduh.

“Pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan prosiding selepas Tun Daim meninggal dunia, itu sahaja,” katanya selepas pihak pembelaan yang mewakili tertuduh menyatakan hasrat supaya kes terbabit diteruskan seperti biasa.

Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan telah menerima surat daripada firma Raj & Sach yang mewakili Daim, bahawa mereka membantah sekiranya prosiding ini dihentikan.

Sedangkan beliau berkata, kuasa untuk meneruskan atau menghentikan kes, terletak di bahu pihak pendakwaan.

“Saya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Tun Daim diberi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan atau dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi media, Wan Shaharuddin berkata, peguam Daim sangat tidak profesional apabila mengkritik pasukan pendakwaan berhubung isu cuti sakit (MC) yang diberikan kepada bekas pemimpin kanan UMNO tersebut.

“Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mengkritik tanpa dapat kami mempertahankan diri dan saya fikir semua pihak telah menutup isu MC itu.

“Isu yang kami timbulkan sebelum ini ialah MC yang dipanggil telah ditandatangani oleh seorang jururawat dan bukannya kebenaran tahap kesihatan Tun Daim.

“Saya fikir perkara itu telah diselesaikan dalam prosiding hari ini,” katanya.

Pada Rabu, Allahyarham Daim dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan lebih 70 harta dan satu bank akaun, Disember tahun lalu.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, mereka tidak berniat untuk meneruskan kes kerana Daim meninggal dunia pada Rabu minggu lalu.

Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply