TEMERLOH – Lima lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan dan dua pucuk pistol dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Pusat Jengka, dekat Maran, pada 14 November lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 4 petang hasil risikan dan maklumat awam telah menahan empat lelaki warga tempatan dan seorang warga Thailand berusia 24 hingga 35 tahun.
Menurutnya, dalang utama berusia 26 tahun memiliki 14 rekod lampau manakala tiga suspek turut memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala warga Thailand tidak mempunyai rekod lampau.
“Hasil dan saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek mendapati positif dadah jenis Amphetamine.
“Kita merampas lima paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin kira-kira 5.86 gram, enam paket lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu dianggarkan 5.07 gram dan dua paket lutsinar mengandungi 21 biji pil dipercayai Yaba (2.54 gram).
“Kesemua dadah itu bernilai RM1,145 manakala wang tunai RM1,300 turut dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Meletakkan Batu Tanda Peringatan Peristiwa Serangan Subuh Berdarah Balai Polis Kuala Krau di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Mohd Yusri Othman; Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan dan Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai.
Tambah Yahaya, turut dirampas dua pucuk pistol yang mana satu daripadanya adalah pistol angin bertulis ‘Pietro Beretta’ dan satu lagi pistol tulen jenis semi auto.
“Bagi pistol tulen jenis semi auto pula, kita turut merampas satu kelopak pistol mengandungi dua butir peluru hidup.
“Pistol disyaki tulen ini sudah dikacau ganggu dengan nombor sirinya dipercayai sudah dipadamkan oleh suspek,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kumpulan itu dipercayai mula aktif sejak awal Ogos lalu dan menjadikan kawasan sekitar Bandar Pusat Jengka dan tanah rancangan Felda di Maran sebagai lokasi menjalankan aktiviti pengedaran dadah.
“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kes berasingan di Temerloh, Yahaya berkata, berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun kerana memiliki senjata api jenis ‘pump gun’ dalam satu Op Bersepadu Khazanah berhampiran Hutan Simpan Kemasul, dekat Lanchang pada 9 November lalu.
Beliau memberitahu, suspek mengaku tidak memiliki lesen bagi pemilikan senjata api jenis Remington 870 Express itu.
“Berdasarkan fakta yang diperoleh, kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.