Juragan dikhuatiri lemas, bot karam di Kapit

Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki karam di Nanga Makoh, Batang Rajang, Kapit petang Selasa. Foto hiasan

SIBU – Seorang jurumudi bot hilang dan dikhuatiri lemas manakala isteri serta pekerjanya selamat apabila bot yang mereka naiki karam selepas terlanggar batu di Nanga Makoh, Batang Rajang, Kapit petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kejadian berlaku di hilir Jeram Pelagus ketika bot itu sedang dalam perjalanan dari Rumah Belaja, Nanga Benin ke pekan Kapit pada lebih kurang 5 petang.

Pusat berkenaan menerima laporan mengenai kejadian dari isteri mangsa, Bubut Renang, 57, pada 9.17 malam.

“Isteri dan pekerja mangsa telah berjaya menyelamatkan diri, namun mangsa masih belum dijumpai sehingga sekarang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) telah dilancarkan hari ini dan pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dengan kekuatan empat anggota, kenderaan pacuan empat roda dan bot aluminium telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Antara pihak yang turut terlibat dalam SAR hari ini ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung, tambah beliau. Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply