Polis tahan tiga lelaki, rampas lebih 11 kilogram ganja

Raiz Mukhliz (tiga, kiri) menunjukkan rampasan ganja, sepucuk pistol jenis Glock bersama 15 peluru 9mm pada sidang media Rabu. Foto Bernama

MUAR – Polis merampas 11.5 kilogram dadah disyaki ganja selepas menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar di Jalan Muafakat, Kampung Temiang, Bukit Treh di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kesemuanya yang berusia 32 hingga 40 tahun ditahan pada 10.30 malam ketika berada di dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan berkenaan, dipercayai sedang menunggu individu lain untuk mengedar dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah dianggar bernilai RM40,000 itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran sekitar termasuk Melaka.

“Selain dadah, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock bersama 15 peluru 9mm dan sebuah kereta yang disewa, dipercayai bagi mengaburi polis.

“Seorang daripada lelaki itu ialah seorang mekanik, manakala dua lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap. Mereka dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah kira-kira dua bulan ini,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Raiz Mukhliz berkata, saringan air kencing mendapati kesemua lelaki itu positif terhadap dadah manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, mereka direman seminggu bermula Ahad lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply