Bekas pemain tenis profesional Switzerland, Roger Federer, menyatakan bahawa Rafael Nadal telah “membanggakan dunia tenis” melalui perjalanan kariernya ketika dia memberi penghormatan kepada Nadal menjelang persaraan bintang tenis itu pada penghujung Piala Davis Cup, semalam.
Pemain berusia 38 tahun itu yang menjuarai 22 kali kejohanan grand slam, berharap dapat membantu pasukan Sepanyol memenangi kejohanan yang berlangsung di Malaga minggu ini, selepas mengesahkan persaraannya pada Oktober lalu.
Federer, yang telah bersara pada 2022 selepas memenangi 20 gelaran grand slam, adalah salah seorang pencabar terhebat Nadal. Dalam rekod pertemuan mereka, Federer menang 16 kali dan tewas 24 kali kepada Nadal.
“Mulakan dengan yang jelas: anda kalahkan saya – banyak kali. Lebih banyak daripada saya berjaya mengalahkan anda. Anda mencabar saya dengan cara yang tiada orang lain mampu lakukan,” tulis Roger Federer di Instagram.
“Di gelanggang tanah liat, anda membuat saya bekerja lebih keras daripada yang saya sangka. Anda membuat saya membayangkan semula permainan saya — sehingga saya mengubah saiz kepala raket, berharap untuk mendapatkan kelebihan.”
“Anda membuat saya lebih menikmati permainan ini.”
“Semua cerita hebat yang saya dengar tentang anda — pemain muda luar biasa dari Mallorca, bakat generasi, mungkin akan memenangi kejohanan besar suatu hari nanti — ternyata benar,” tulis Federer.
“Kita berdua berada di permulaan perjalanan, dan ia adalah perjalanan yang akhirnya kita lalui bersama. Dua puluh tahun kemudian, Rafa, saya perlu katakan: Betapa luar biasa pencapaian anda. Termasuk 14 kejuaraan Terbuka Perancis – sejarah!”
“Anda membuat Sepanyol bangga, anda membuat seluruh dunia tenis bangga.”
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.