Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan sistem PadiMedical yang menguruskan imej perubatan menggunakan kecerdasan buatan (AI). PadiMedical dibangunkan khusus untuk menggantikan sistem sedia ada yang memerlukan filem fizikal dan juga cakera padat bagi melakukan perkongsian data perubatan. Dengan sistem ini diagnosis ke atas pesakit dapat dilakukan lebih awal.
Ia boleh diakses menerusi peranti pintar kerana menggunakan infrastruktur storan awanan. Proses diagnosis yang pantas adalah penting dalam kes kritikal. PadiMedical mampu menyusun dan menyaring kes berdasarkan keutamaan, seterusnya membolehkan doktor menumpukan perhatian kepada kes yang memerlukan perhatian segera.
Data yang dikumpul seterusnya boleh digunakan untuk melatih algoritma AI buatan tempatan yang khusus untuk komuniti perubatan di Malaysia. Ini adalah penting kerana antara masalah dengan AI ialah data yang tidak serasi dengan lokasi ia diperlukan. Sekiranya dilatih menggunakan data tempatan, pemahamannya adalah lebih serasi dengan keperluan tempatan.
Selain PadiMedical, UPM turut menerima dana bagi menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama NACSA bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan berdepan dengan ancaman keselamatan siber.
Penggunaan AI bagi membantu proses diagnosis pesakit sudahpun dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Google DeepMind misalnya menggunakan AI untuk melakukan pengesanan kanser payudara lebih tepat manakala Microsoft pula menggunakannya untuk mempercepatkan pengesanan kanser serviks.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.