Meski mendambakan ibu bapa yang menyayangi tapi realiti kehidupan tak semuanya begitu. Ada anak yang ditakdirnya berdepan dengan sikap ibu yang membenci anak sendiri.
Ia mungkin berlaku akibat dari sesuatu perkara atau peristiwa dan boleh jadi perasaan amarah dan benci ini berlarutan dalam tempoh yang lama.
Dalam situasi ini adalah seseorang anak ini akan menerima balasan neraka kerana Allah menuntut seseorang anak itu berbuat baik kepada ibunya.
Perkara ini sebenarnya adalah dilema yang dihadapi oleh seorang anak yang ditanyakan kepada Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri.
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya adalah anak lelaki kepada mak ayah saya dan saya sentiasa berusaha dan mencuba menjaga hati ibu saya sejak dari kecil lagi sehingga sekarang yang berumur 34 tahun. Namun, ibu saya tetap membenci saya dan sentiasa marah saya. Syurga saya dibawah tapak kaki ibu saya dan walaupun saya berusaha untuk menjaga hati ibu. Ibu saya tetap benci saya dan sentiasa tidak puas hati dgn saya. Soalan saya adalah, adakah saya akan masuk neraka walaupun saya atas dasar benci dan kemarahan ibu saya walaupun saya tidak ada menyakitkan hati ibu saya?
Seorang anak hendaklah berbuat baik kepada ibu bapanya
Seorang anak itu hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya kerana inilah arahan Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’: 23)
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ
Maksudnya: “Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”
Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (3424) menyatakan bahawa sanadnya sahih.
Ibu bapa merupakan dua insan yang wajib ditaati oleh anak-anak selagi mana mereka tidak menyeru kepada perkara-perkara maksiat. Anak-anak wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Hubungan ibu bapa dan anak-anak akan kekal walaupun berlainan agama. Allah SWT telah berfirman:
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)
Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kamu kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik.
Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/402)
Meski ibu marah namun ia tidaklah menyebabkan masuk neraka
Menjawab persoalan di atas, walaupun ibu marah dan benci, namun ia tidaklah menyebabkan saudara masuk neraka.
Benar, redha Allah adalah pada keredhaan ibu bapa, namun ia adalah perkara yang ketaatan dan juga dalam perkara yang harus sahaja. Hal ini kerana sekiranya ibu bapa yang tidak meredhai anak yang melakukan kebaikan dan ketaatan, ia tidaklah menjadikan seorang itu anak derhaka.
Oleh itu, banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya melembutkan hati ibu saudara kerana Allah SWT sahaja yang memegang hati seseorang itu dan Dia sahaja yang boleh melembutkan hati seseorang itu.
Di samping itu, teruskan melakukan kebaikan dan ketaatan kepada ibu bapa walaupun dalam keadaan mereka tidak menyukai kita. Semoga Allah SWT melembutkan hati mereka untuk terus menyayangi anak mereka.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.