Setelah sekian lama menyepi dari pasaran Malaysia, jenama ikonik Moto Morini kembali dengan model baharu, Calibro 700. Ditawarkan pada harga RM35,888 (tidak termasuk insurans).
Model cruiser ini hadir dengan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan, menjadikannya pilihan menarik bagi peminat motosikal yang mencari gaya dan fungsi dalam satu pakej.
Calibro 700 mempersembahkan reka bentuk cruiser klasik dengan sentuhan moden. Ia menampilkan fairing separuh di bahagian lampu hadapan yang memberikan perlindungan angin serta gaya yang unik.
Praktikaliti
Selain itu, motosikal ini dilengkapi dengan beg barangan tepi berkapasiti 20 liter setiap satu, menjadikannya praktikal untuk perjalanan jauh atau kegunaan harian.
Satu ciri yang membezakan Calibro 700 ialah peletak kaki boleh laras yang menawarkan dua posisi – kedudukan santai ke hadapan atau lebih tegak seperti motosikal standard.
Di bahagian fairing pula, terdapat dua poket kecil untuk barangan peribadi, lengkap dengan soket USB untuk mengecas peranti ketika perjalanan.
Prestasi Calibro 700
Di bawah reka bentuk yang bergaya ini, Calibro 700 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari DOHC dengan penyejukan cecair.
Enjin berkapasiti 693 cc ini mampu menghasilkan 74 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 68 Nm pada 6,500 rpm.
Kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan yang menggunakan sistem tali sawat, memastikan tunggangan yang lancar dan senyap.
Motosikal ini menggunakan rim bersaiz 18 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, yang dipadankan dengan fork teleskopik 41 mm di depan dan penyerap hentak berkembar dengan pelarasan pra-beban di belakang.
Sistem breknya juga tidak kurang hebat, dengan brek cakera J.Juan dua piston di hadapan dan satu piston di belakang. Lengkap dengan sistem ABS dual-channel untuk keselamatan tambahan.
Kelengkapan lain
Termasuk tangki bahan api berkapasiti 15 liter. Panel meter kombinasi analog dan digital, lampu LED sepenuhnya, serta berat keseluruhan 228 kg yang memberikan kestabilan semasa menunggang.
Moto Morini Calibro 700 jelas membawa gabungan gaya, teknologi, dan praktikaliti yang sesuai untuk pelbagai keperluan tunggangan. Dengan harga yang kompetitif dan ciri-ciri menarik, ia berpotensi menjadi pilihan utama di kalangan peminat cruiser di Malaysia.
Jika anda mencari motosikal yang menawarkan keanggunan klasik dan prestasi moden, Calibro 700 mungkin jawapannya.
Dari PaulTan
Baca Juga Moto Morini Corsaro Sport V-Twin, ‘Ahli’ Baharu Motosikal Sportbike Kategori Serdehana
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.