PETINJU Kelab Muay Thai Kuda Merah PDRM, Mohd Rais Mohd Junaidi memasang impian untuk membawa nama negara pada Sukan SEA Thailand 2025.
Kejayaan menjuarai Kejohanan Grand Final Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024 menyuntik semangat petarung berusia 26 tahun itu untuk membawa cabaran yang lebih besar.
Dalam pertarungan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu, Mohd Rais menewaskan Mohd Juwaidi Abd Wahab yang mewakili Urat Merah Naratiwat, Thailand secara kiraan mata.
Menerusi kemenangan tersebut Mohd Rais membawa pulang Tali Pinggang Pulapol dan Celsius.
“Perancangan selepas ini saya mahu menyertai sesi pemilihan untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA.
“Sebagai persiapan, saya akan masuk beberapa kejohanan untuk ambil pengalaman. Malah akan ke Hatyai, Thailand bagi menyertai kem latihan dan kejohanan pada Februari tahun depan,” katanya.
Di sebalik kejayaan itu, beliau yang terkenal dengan julukan Rais Kuda Merah melahirkan penghargaan buat ketua jurulatih, Rosli Yaacob.
Turut berada di belakang bagi memacu kejayaannya ialah pengurus pasukan serta beberapa jurulatih lain.
“Saya mula menyertai Kuda Merah sejak empat tahun lalu. Tiada yang lebih bermakna bagi saya untuk menghadiahkan kejayaan ini sempena persaraan ketua jurulatih beberapa hari lagi” katanya.
Sejak menyertai kelab itu pada 2020, Mohd Rais sudah meraih empat kemenangan daripada lima pertarungan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.