PEMAIN skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menampilkan persembahan sensasi apabila mengungguli gelaran juara kategori lelaki Piala Skuasy Malaysia 2024 hari ini.
Pada aksi final berlangsung di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara di sini, Eain Yow yang berada di ranking ke-14 dunia hanya mengambil masa 50 minit untuk menewaskan pemain ranking ke-11 dunia dari Mesir Youssef Soliman 3-0 (11-7,11-7,11-7), sekali gus dinobatkan selaku juara.
“Sangat baik untuk memenangi pertandingan ini dan secara peribadi ini mungkin salah satu persembahan terbaik, lebih baik daripada perlawanan akhir Sukan Asia.
“Jika anda lihat saya bermain di gelanggang, saya hanya cuba untuk mengawal segala-galanya di dalam diri, saya tidak membiarkan apa-apa pun menjejaskan saya, jadi hanya fokus pada apa yang perlu saya lakukan. Satu mata pada satu masa dan jika saya mahu menjadi pemain yang baik, saya tidak boleh memikirkan mengenai orang yang pernah menewaskan saya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Dalam masa sama, beliau turut gembira menambah koleksi kemenangan peribadi keduanya di laman sendiri selepas kali terakhir dilakukan pada Terbuka Malaysia 2019.
Sementara itu, pemain nombor 10 dunia dari Mesir, Amina Orfi muncul juara kategori wanita selepas menewaskan pemain negara S.Sivasangari dengan keputusan 3-2.
Amina memaksa Sivasangari yang menghuni ranking kesembilan dunia mengerah sepenuh tenaga dalam pertarungan lima set (8-11,11-9, 11-10, 8-11, 11-6) selama 88 minit.
“Saya telah memberitahu diri saya bahawa ini telah berlaku beberapa kali kepada saya. Saya telah bermain tahun lepas, jadi kurangkan tekanan pada tahun ini dengan bermain mata demi mata.
“Ia sukar (cabaran dari Sivasangari). Beliau telah kalahkan pemain nombor satu dunia dalam acara emas tahun lepas, jadi saya tahu dia pemain yang berbahaya,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Eain Yow dan Amina masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah AS$9,025 (RM40,378). – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.