Hasrat jadikan Selangor hab lahir bakat sukan negara, antarabangsa

Sebahagian peserta dan jurulatih bergambar bersama Menteri Besar selepas majlis perasmian penutup.

KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri mengharapkan agar lebih banyak pertandingan sukan bertaraf antarabangsa dianjurkan di institusi pengajian tinggi awam di Selangor dari semasa ke semasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, akhirnya usaha itu akan dapat menjadikan negeri ini dikenali sebagai hab pertandingan dan kecemerlangan melahirkan bakat-bakat sukan tersohor peringkat nasional dan antarabangsa di masa akan datang.

“Ini bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan dengan sokongan kemudahan dan kelengkapan sukan sedia ada, ditambah kedudukan geografi strategik, kemudahan jaringan pengangkutan termaju dan menjadi ‘pintu masuk utama negara’.

“Sokongan padu kerajaan negeri juga menjadikan Selangor lokasi dan destinasi pilihan utama penganjuran kejohanan sukan yang sentiasa mendapat sambutan dan perhatian di peringkat nasional dan dunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Kejuaraan Silat Tempur Antarabangsa Terbuka Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini pada Ahad.

Kejohanan kali ini melibatkan hampir 1,200 peserta di kalangan mahasiswa, Persatuan Silat Negeri, Kelab Silat Daerah dan Kelab Silat Antarabangsa bagi merebut kejuaraan empat kategori pertandingan iaitu Terbuka Pra Dini (7-9 tahun), Terbuka Dini (10- 12 tahun), Terbuka Remaja (13-16 tahun) dan Terbuka Antarabangsa.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi dan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengharapkan agar seni silat dapat menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini khususnya kepada generasi muda agar dapat membentuk karakter peribadi dan disiplin yang kukuh bagi pengamalnya.

“Seni bela diri budaya bangsa ini juga diharapkan akan terus dipraktikkan oleh generasi masa kini dan pada masa akan datang supaya ia terus dapat dimartabatkan dan terus relevan sepanjang masa,” ujarnya lagi.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply