KUALA LUMPUR – Golongan remaja sanggup direkrut menyertai kumpulan kongsi gelap kerana konon mahu mendapat perlindungan dan keselamatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia susulan siasatan lanjut ke atas 14 remaja antara 61 individu ditahan dalam serbuan di lokasi dipercayai tempat upacara angkat sumpah kumpulan kongsi gelap di Salak Selatan, Sungai Besi, di sini, pada Jumaat lalu.
“Siasatan mendapati remaja itu diajak oleh bekas pelajar berusia 18 tahun yang turut ditahan dalam serbuan tersebut untuk menyertai kumpulan berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Rusdi berkata, lima daripada remaja terbabit masih bersekolah sementara sembilan lagi sudah berhenti belajar.
“Remaja itu ditawarkan perlindungan dan keselamatan jika berlaku apa-apa masalah di kemudian hari jika menyertai kumpulan itu.
“Malah mereka turut dijaga kebajikan dan akan membantu jika dalam kesusahan terutamanya jika dipukul di sekolah,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menahan salah seorang yang mempunyai rekod orang dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan seramai 14 remaja termasuk pelajar antara 61 individu ditahan dalam serbuan di lokasi dipercayai tempat upacara angkat sumpah kumpulan kongsi gelap.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, jam 11 pagi, berdasarkan maklumat dan risikan ke atas sebuah premis rumah kedai di Salak Selatan Baru, di sini.
Ketika serbuan dibuat, seramai 61 individu berada dalam premis dipercayai sedang bersiap sedia untuk merekrut ahli baru terdiri daripada 14 remaja bawah umur dan pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun untuk menyertai pertubuhan disyaki mempunyai kaitan dengan Kumpulan Kongsi Gelap 360.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.