Selangor Pistons menamatkan kempen Emas Anuar STL Champions Cup di tempat ketiga apabila menewaskan Perak Bison 2-1 dalam aksi penentuan di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, sebentar tadi.
Memulakan saingan dengan barisan terkuat dibarisi Kitsada Sungvung (tekong), Aidil Aiman Zawawi (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam), Bison jelas mendominasi awal saingan untuk mencatatkan kemenangan 15-12 dalam set pertama.
Bagaimanapun, Pistons, yang dibarisi Zuhri Zain (tekong), Arif Badri (pengumpan) dan Khairol Zaman Hamir Akbar (perejam), membuktikan tiada jalan mudah untuk mereka mengaku kalah apabila merampas set kedua dengan kemenangan 15-13.
Biarpun aksi set penentuan dipalit dengan keputusan kontroversi pengadil, yang mengundang kemarahan kem Pistons, Bison gagal memanfaatkannya menuju ke penghujung aksi, terutama selepas bertukar gelanggang.
Bison, yang pada satu ketika ketinggalan 8-14, cuba bangkit meraih mata demi mata tetapi perjalanan mereka terhenti di angka 13 untuk membenarkan Pistons memenangi tempat ketiga dengan kemenangan 15-13.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.