KUALA PILAH – Seramai 44 mangsa banjir membabitkan 10 keluarga di sekitar kawasan Johol di sini dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Dangi pada Sabtu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, jumlah tersebut masih tidak berubah setakat petang Ahad.
“Terdapat 10 keluarga ditempatkan di PPS ini termasuk dua orang kurang upaya (OKU) dan seorang bayi lelaki.
“Keadaan cuaca ketika ini mendung dan masih hujan, jadi kita tidak benarkan mereka pulang buat masa ini.
“Bagaimanapun kita akan pantau daripada masa ke masa keadaannya dan bergantung kepada cuaca pada esok hari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, satu lagi PPS turut dibuka di Tampin membabitkan 19 mangsa yang mana ketika ini terdapat enam mangsa masih berada di lokasi.
Media sebelum ini melaporkan hujan berterusan pada Sabtu menyebabkan beberapa lokasi sekitar Kuala Pilah dan Tampin dinaiki air.
Berikutan itu, Jalan Batang Melaka-Gemencheh di Tampin ditutup untuk semua kenderaan akibat banjir kilat pada paras hampir satu meter di kawasan itu.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gemas-Tampin dan Jalan Mantai-Air Kuning Selatan-Sungai Dua untuk ke destinasi masing-masing.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, misi bantuan banjir terus digerakkan dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.
“Lebih 50 individu dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh, termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.