Jangan gugat keharmonian politik di Johor – Ahmad Maslan

Ahmad Maslan. Foto Bernama

PONTIAN – Keharmonian Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor sepatutnya tidak gugat dengan kenyataan berhubung penubuhan kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dibangkitkan berulang kali kerana kerajaan negeri tidak dibentuk seperti di peringkat Persekutuan.

“UMNO Johor berharap isu ini dapat dinoktahkan segera bagi memberikan peluang kepada kerajaan negeri di bawah BN menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka sehingga Pilihan Raya Negeri(PRN) akan datang.

“Kerajaan negeri juga telah mengiktiraf pembangkang sebagai pengimbang yang tiada dilakukan di negeri-negeri lain sebagai menghargai peranan sebagai wakil rakyat di tempat masing-masing,” katanya.

Ahmad Maslan (tengah) bergambar dengan sebahagian pelajar yang berjaya menyambung pelajaran ke IPT di Pejabat UMNO Pontian, pada petang Ahad.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 52 pelajar yang berjaya menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi ( IPT) di Pejabat UMNO Pontian, pada petang Ahad.

Pada 4 November lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, partinya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada pilihan raya akan datang berikutan Johor kini masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Amanah Johor juga dilaporkan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN di Johor sama ada PH bertanding sendiri mahupun bekerjasama dengan BN

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, tumpuan ketika ini patut diberikan untuk mencapai agenda Johor Maju 2030 dan membantu rakyat.

“Masa masih panjang mungkin tiga tahun lagi sebelum pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN).

“Penentuan kerusi yang akan ditandingi akan diputuskan oleh Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac 2022, BN menang majoriti dua pertiga apabila memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dan Muda satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply