Warga emas dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir dalam sungai

Foto hiasan

ALOR GAJAH – Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan di sini awal pagi tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata mangsa dikenali sebagai Mokhtar Othman, 61, dikatakan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya di Machap kira-kira 1.50 pagi.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.39 pagi yang memaklumkan terdapat seorang lelaki terperangkap dalam tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera.

“Susulan itu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan Ayer Keroh bersama 12 anggota ke lokasi kejadian, namun mangsa dikatakan tiada sejurus pintu tandas berjaya dibuka pasukan penyelamat.

“Kami hanya menemui kenderaan mangsa di lokasi berkenaan selain sepasang selipar di tebing sungai dipercayai milik lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkhairani berkata siasatan awal menerusi rakaman kamera papan pemuka daripada kereta mangsa mendapati dia hanya mundar-mandir dan tidak masuk ke dalam tandas kerana berkunci.

Beliau berkata berikutan itu, JBPM Melaka mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan permukaan dan di dalam air bagi mengesan mangsa.

“Usaha pencarian masih diteruskan selain unit anjing pengesan juga sudah dihubungi bagi membantu mengesan mangsa,” katanya. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply