Perak, Johor juara pertandingan ‘Aerobics Dance’ peringkat kebangsaan

Hannah (tengah) bergambar bersama-sama peserta Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Kebangsaan di pusat beli-belah Datum Jelatek hari ini. Foto Bernama

GABUNGAN semangat dan kreativiti pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar membolehkan pasukan Perak meraih kejayaan cemerlang menjuarai Kategori Dewasa (18 tahun ke atas) pada ‘Pertandingan Aerobics Dance Peringkat Kebangsaan’ hari ini.

Turun dengan pakaian melambangkan bendera negeri Perak – kuning, hitam dan putih menyaksikan kumpulan penari di bawah naungan Kelab Interbeatz mencuri tumpuan juri dengan memperoleh 12.2 mata diikuti Perlis dan Sarawak masing-masing di tempat kedua (11.6 mata) dan ketiga (11.3 mata).

Bercakap kepada Bernama, jurulatih kumpulan Perak Aminuddin Razif Arman, 20, berkata, mereka mula berlatih secara serius selepas Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 berakhir pada September.

“Selepas berakhir SUKIPT, kami memang dapat semangat baharu untuk teruskan dalam Aerobics Dance dan yang pergi untuk kejohanan ini adalah line up yang sama di SUKIPT.

“Kami semua memang penari Kelab (Interbeatz) iaitu sebuah kelab tarian moden di UTP jadi kami memang ada kemahiran asas jadi daripada situ kami hanya bertukar-tukar idea dalam koreografi untuk hasilkan apa yang ditunjukkan depan penonton,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, pasukan Johor pula mengungguli saingan kategori remaja (bawah 17 tahun) dengan 12.6 mata diikuti Pahang (11.9 mata) dan Melaka (11.8 mata).

Pertandingan yang dianjurkan menerusi Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menawarkan RM 24,000 secara keseluruhan dengan johan bagi kategori dewasa 18 tahun ke atas membawa pulang RM 4,000, naib johan (RM 3,500), ketiga (RM 3,000) dan keempat (RM 2,500).

Johan kategori remaja 17 tahun ke bawah pula membawa pulang RM 3,500, naib johan (RM 3,000), ketiga (RM 2,500) dan keempat (RM 2,000).

Kejohanan berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin.

Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi selain memperkenalkan sukan tarian aerobik dalam kalangan penggiat aktiviti kecergasan. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply