Belanjawan Selangor 2025: ‘Tumpuan ekonomi bandar hanya untungkan korporat’

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) ketika sesi pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor. Foto Bernama

SHAH ALAM – Pas Selangor menyifatkan negeri itu masih mendepani masalah kitaran ekonomi tidak seimbang dan tiada pendekatan holistik disentuh dalam Belanjawan Selangor 2025 bagi mengatasi masalah tersebut.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, walaupun Selangor dilihat pesat membangun dan menarik banyak pelaburan namun kos sara hidup tinggi, kemiskinan bandar, masalah pencemaran, projek tebatan banjir sakit, perumahan terbengkalai masih menjadi masalah yang berterusan.

Beliau berkata, tumpuan berlebihan kepada ekonomi bandar hanya akan menguntungkan sebahagian golongan terutamanya korporat.

Zurk Ahmad

“Kawasan luar bandar dan desa juga mesti dibangunkan untuk memberi peluang saksama kepada rakyat, mempelbagaikan bentuk peluang pekerjaan dan merapatkan jurang pendapatan ketara antara rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Zurk berkata, sekilas pandang banyak program bantuan ‘one-off’ dan juga inisiatif umum untuk rakyat dalam Belanjawan Selangor 2025 masih dikekalkan seperti bantuan persekolahan, kesihatan, penjawat awam dan lain-lain.

Ujarnya, walaupun masih berputar dalam jenis dan aspek yang sama, selagi ada bahagian untuk rakyat kebanyakan belanjawan tahun ini tetap masih ada baiknya.

“Tertarik kepada perkara pertama yang disentuh Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) tentang memasuki gerbang AI, diikuti pembangunan pusat inkubator dan projek-projek mega yang lain.

“Sedar atau tidak, walaupun Selangor dikategorikan sebagai bandar maju namun negeri bertuah ini tidak hanya bergantung kepada ekonomi di bandar seperti industri pembuatan, perkilangan, perkhidmatan, hartanah dan pelaburan.

“Lambakan migrasi ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan menyebabkan kepadatan penduduk di bandar dengan persaingan yang ketat sedangkan di Selangor ada kawasan luar bandar yang boleh dibangunkan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih selesa dan terjamin,” ujarnya.

Beliau menambah, satu cadangan pernah dibawa oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Halim Tamuri yang dinamakan ‘reverse migration’ antaranya dengan menawarkan rumah sewa percuma bagi menarik anak muda kembali ke desa membangunkan ekonomi pertanian dan penternakan berskala besar.

“Setinggi mana pun hasrat dan wawasan kerajaan negeri Selangor untuk terbang jauh menjadi negeri maju, tunduklah ke bumi melihat banyak lagi masalah ekonomi yang memerlukan perhatian kerajaan negeri di peringkat lapisan bawah rakyat,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply