Amanah Hulu Selangor tuntut kerusi DUN Hulu Bernam

Muhammad Shafiq Musa

HULU SELANGOR – Resolusi Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Hulu Selangor menetapkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam sebagai DUN yang akan ditandingi parti Amanah.

Naib Ketua Amanah Kawasan Hulu Selangor, Muhammad Shafiq Musa berkata, keputusan itu kekal meskipun Penyelaras DUN Hulu Bernam terpaksa diberikan kepada UMNO atas keputusan sepihak Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tanpa perbincangan bersama anggota parti Pakatan Harapan.

“Amanah Hulu Selangor juga ingin menasihatkan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu supaya tidak mengulangi sikap sama dalam menyingkirkan Amanah untuk pembahagian kerusi khususnya untuk DUN Hulu Bernam.

“Amanah Hulu Selangor juga mengulangi hak (untuk bertanding) kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti adalah berdasarkan status quo kerusi parti bertanding pada PRN yang lepas.

“Ini bermakna Amanah akan kekal bertanding di Dun Hulu Bernam pada PRN akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di kongsi kepada Sinar Harian pada Ahad.

Jun lalu, Amanah Hulu Selangor meminta Menteri Besar agar menyerahkan kembali jawatan pegawai penyelaras DUN Hulu Bernam yang sebelum ini dipegang timbalan ketuanya, Roslin Md Zin.

Muhammad Syafiq seperti dilaporkan media mendakwa Roslin ditamatkan tugas sebelum ini dengan jawatan itu diberikan kepada Ketua UMNO Hulu Selangor Mohd Isa Abu Kasim.

Mengulas lanjut, Muhammad Syafiq berkata, sehingga kini, Amanah Hulu Selangor belum menerima sebarang penjelasan tentang isu tersebut meskipun Setiausaha Politik kepada Menteri Besar berjanji untuk memberikan jawapan kepada beberapa surat yang dihantar ke Pejabat Menteri Besar sebelum ini.

“Amanah Hulu Selangor juga menghargai Timbalan Pengerusi Amanah Selangor merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof yang menyokong hasrat kami untuk DUN Hulu Bernam kekal ditandingi Amanah dalam ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Hulu Selangor.

“Sejajar dengan semangat setia kawan dalam Pakatan Harapan, Amanah Hulu Selangor berharap Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan lebih rasional dalam keputusan-keputusan yang dibuat melibatkan parti anggota PH Selangor selepas ini,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply