Bekas bintang muda Aston Villa, Myles Sohna, terpaksa mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 22 tahun itu selepas menjalani tiga pembedahan lutut yang berasingan.
Disifatkan sebagai cukup pakej sebagai pertahanan moden, Sohna berkembang di Pusat Latihan Bodymoor Heath dan meraih kontrak profesional sekaligus berjaya mewakili kelab di peringkat B21.
Bagaimanapun, kecederaan merencatkan perkembangannya dan terpaksa meninggalkan Villa apabila kontraknya berakhir pada 2023, Sohna kemudian mengumumkan persaraan.
Berkongsi menerusi Instagram, Sohna berkata, “Dengan emosi yang bercampur-campur kerana kecederaan, saya telah memutuskan untuk bersara daripada bola sepak profesional. Ini benar-benar merupakan keputusan paling sukar yang pernah saya buat, namun selepas berbulan-bulan pertimbangan yang teliti dan berunding dengan pakar, ia menjadi jelas bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk kesihatan jangka panjang saya.
“Tiga musim lalu adalah yang paling sukar dalam karier saya, daripada segi mental dan fizikal. Selepas mengalami kecederaan ligamen lutut saya dan bekerja sangat keras untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan saya. Malangnya lebih setahun lalu saya mengalami kecederaan lutut serius yang berasingan, dan memerlukan pembedahan ketiga.
“Melalui pembedahan, saya mengetahui ada kemungkinan kecederaan itu berpotensi menamatkan kerjaya namun saya tidak pernah membayangkan ini akan menjadi realiti saya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan saya atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang karier bola sepak saya dan juga rakan sepasukan dan kakitangan saya yang lalu di Aston Villa FC kerana menjadikan 12 tahun saya di sana begitu istimewa.
“Saya percaya bahawa ini adalah perancangan Allah untuk saya dan saya percaya bahawa Dia adalah sebaik-baik perancang. Saya kini berharap untuk memulakan lembaran baharu dalam hidup saya.”
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.