PGA tumpaskan aktiviti penyeludupan barangan runcit, beras

PGA Kuala Terengganu menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan runcit serta beras dalam serbuan berasingan.

RANTAU PANJANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan runcit serta beras dalam serbuan berasingan di sini pada Khamis dan Jumaat.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pada Khamis sekitar jam 8.30 malam semasa penugasan Op Taring Wawasan, anggota bertugas telah menemukan beberapa bungkusan beras anggaran 125 kilogram (kg) di tebing Sungai Golok.

“Anggaran nilai rampasan ialah RM500 dan dipercayai ia dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam dan barangan rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya pada Ahad.

Menurut beliau, rampasan kedua yang dilakukan pada Khamis sekitar jam 12.15 tengah malam anggota PGA telah menahan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di sekatan jalan raya (SJR) Cabang Empat Salam di sini.

Ujarnya, seorang lelaki berusia 26 tahun telah ditahan dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barangan runcit terbabit ke pasaran tempatan.

Nik Ros Azhan memberitahu, hasil pemeriksaan telah menemukan pelbagai jenis barangan runcit bernilai keseluruhannya RM4,480 dan kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

“Untuk rampasan ketiga pada Jumaat, sekitar jam 4 petang anggota telah menahan sebuah lori jenis Nissan dipandu dalam keadaan mencurigakan di SJR Cabang Empat Salam di sini.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan pelbagai jenis barangan runcit. Turut ditahan seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barangan terbabit ke pasaran tempatan,” katanya.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan ialah RM19,800 dan kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.

Ujarnya, suspek serta barangan rampasan dibawa ke Komtak PGA Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply