Rapid Bus nafi iklan promosi perjalanan tanpa had Pas Mutiara

Rapid Bus memohon orang awam supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan maklumat, iklan atau tawaran yang tidak rasmi.

GEORGE TOWN – Pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menafikan wujudnya tawaran promosi pas perjalanan tanpa had Pas Mutiara seperti yang disebarkan di media sosial baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, iklan melalui sebuah akaun Facebook dengan menawarkan harga RM14 selama enam bulan untuk semua jenis mod pengangkutan adalah tidak sah dan bukan inisiatif daripada pihak Rapid Penang.

“Kami ingin menegaskan bahawa sebarang promosi atau tawaran yang melibatkan produk dan perkhidmatan Rapid Penang hanya akan diumumkan melalui laman web www.myrapid.com.my, Facebook (@rapidpgfans), Instagram (myrapidpg), aplikasi X (@RapidPG) dan Tiktok (myrapidpg) sahaja.

“Rapid Bus juga ingin menegaskan bahawa tindakan pihak yang bertanggungjawab atas penyebaran maklumat palsu ini adalah salah di sisi undang-undang dan telah mencemarkan imej syarikat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Susulan itu Muhammad Yazurin berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak Rapid Bus bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap penyebaran iklan palsu itu.

Sehubungan itu beliau memohon orang awam supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan maklumat, iklan atau tawaran yang tidak rasmi.

Katanya, sebarang maklumat atau promosi yang sah dan terkini boleh didapati melalui saluran rasmi Rapid Penang sahaja dan untuk maklumat lanjut boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid Penang di 04- 255 8000 atau melalui laman media sosial rasmi Rapid Penang atau emel ke [email protected]. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply