Suami isteri maut dirempuh pemandu mabuk

Suami isteri maut dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid di Pasir Gudang. Foto Polis

PASIR GUDANG – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada jam 4 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

“Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan dalam keadaan lampu isyarat merah menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

“Pada masa sama motosikal pasangan terbabit meneruskan perjalanan menghala ke bandar raya ini sebelum berlaku pelanggaran,” katanya satu dalam kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dan pembonceng wanita berusia 36 tahun cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, pemandu kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.

“Ujian air kencing juga dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah.

“Siasatan dilakukan bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Memandu bawah pengaruh alkohol bukan sahaja merupakan satu kesalahan serius tetapi juga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Tambahnya, sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply