Ubah suai ekstrem, 73 motosikal disita

Antara kesalahan yang dikesan penggunaan ekzos tidak mengikut spesifikasi, tayar bersaiz terlalu kecil dan nombor plat tidak mematuhi piawaian.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 73 motosikal disita kerana didapati diubah suai secara ekstrem dalam tiga Operasi Sepadu Motosikal di sekitar ibu kota pada Jumaat dan Sabtu.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, sebanyak 4,545 kenderaan diperiksa manakala 1,353 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dilaksanakan bermula jam 3 petang itu.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah pengubahsuaian ekstrem pada motosikal, termasuk ubah suai casis sehingga menjejaskan kestabilan dan keselamatan.

“Selain itu, turut dikesan penggunaan ekzos tidak mengikut spesifikasi yang menghasilkan bunyi terlalu kuat melebihi had dibenarkan, penggunaan tayar bersaiz terlalu kecil dan nombor plat tidak mematuhi piawaian,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Penggunaan ekzos tidak mengikut spesifikasi turut dikesan dalam operasi bersepadu.

JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengesan kesalahan penunggang motosikal yang tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Kesemua kesalahan itu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Operasi dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Operasi itu memfokuskan kepada pengubahsuaian ekstrem pada motosikal yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut melaksanakan advokasi berhubung keselamatan topi keledar penunggang motosikal yang tiada tanda perakuan Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).

“Langkah itu bertujuan untuk memastikan keselamatan penunggang motosikal dengan menggunakan topi keledar yang selamat dan sah,” katanya.

Antara motosikal yang disita dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan pada Jumaat dan Sabtu.

Dalam operasi sama, 19 pendatang asing tanpa izin dari Indonesia, Bangladesh dan India turut ditahan.

“Pihak AADK pula telah membuat saringan air kencing ke atas 141 individu dan menahan 16 individu yang didapati positif dadah methamphetamine serta ganja.

“Sementara itu, pihak JSPT mengeluarkan 134 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan,” katanya.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply