GOLONGAN remaja dan belia merupakan tonggak serta penyumbang kepada kejayaan dan kesejahteraan masyarakat di negara ini pada masa depan.
Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini gejala sosial melibatkan golongan itu semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kegiatan dadah.
Semalam, media melaporkan polis menahan empat individu termasuk dua wanita yang juga pelajar sebuah IPT dan merampas dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Superintenden Zulkafli Sariaat berkata, kesemua suspek warga tempatan itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat pada jam 1.40 tengah hari dan hasil pemeriksaan di rumah itu menemukan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1.92 kilogram bernilai RM2,500.
Menurutnya, dadah itu dipercayai untuk kegunaan mereka sendiri dan juga pengedaran.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan telah menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihak polis akan mengambil langkah mengikut undang-undang terhadap pelajar IPT berkenaan sekiranya dipercayai terlibat dalam jenayah itu.
Persoalannya, adakah masyarakat sedar mengenai pembabitan golongan belia dan remaja dalam aktiviti dadah semakin menghampiri ‘garis merah’?
Penyalahgunaan dadah terbukti memusnahkan kehidupan individu dan membawa kesengsaraan kepada seluruh keluarga, masyarakat, sekali gus negara.
Pendekatan lebih agresif oleh pihak berwajib perlu dilaksanakan dan ibu bapa juga wajar mengambil serius terhadap budaya hidup anak-anak mereka.
Usah diambil sikap ‘lepas tangan’ dalam memberikan bimbingan kepada anak-anak kerana tanpa kesungguhan, perkara negatif boleh menimpa anak-anak kita.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.