PUTRAJAYA – Nasib sama ada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad kekal dibebaskan atau diperintah membela diri daripada tiga kes rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd di Mahkamah Rayuan di sini, akan diketahui pada Isnin.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim akan memutuskan perkara itu bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, pada jam 9 pagi.
Ia membabitkan rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tahun lalu.
Jika panel membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan isterinya perlu membela diri atas tuduhan terbabit.
Susulan itu, kes ini akan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk prosiding bicara bela diri.
Bagaimanapun, jika mahkamah berpendapat sebaliknya, pasangan suami isteri itu akan kekal dibebaskan daripada tuduhan terbabit.
Dalam prosiding ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide manakala pembelaan oleh peguam, M Athimulan dan Datuk K Kumaraendran.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga dituduh atas pertuduhan ketiga, secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette yang juga pelakon pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.