“Selepas Azan Subuh Dia Beri Isyarat 5 Jari, Saya Ingatkan …” – Isteri Allahyarham S Atan

Isteri kepada Allahyarham komposer legenda, Datuk S Atan iaitu Datin Norizan Yeoh reda dengan pemergian suaminya. 

Norizan juga meluahkan rasa syukur kerana dapat menunaikan segala permintaan suaminya sebelum pergi buat selamanya.

“Saya penuhi segala permintaan arwah apabila dia enggan makan ubat baharu termasuk tidak mahu dirawat di hospital. 

“Selain itu, pagi tadi selepas azan Subuh dia memberi isyarat lima jari iaitu jumlah wang yang ingin disedekahkan. 

“Saya ingatkan dia nak sedekah RM5 tapi RM50. Dalam keadaan yang tidak bermaya dia gagahkan juga masukkan duit itu ke dalam kotak khas yang diperuntukkan,” katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: S Atan Meninggal Dunia

Norizan juga memberitahu dia bersyukur kerana dia berpeluang untuk memandikan suaminya buat kali terakhir kerana sebelum ini suaminya itu akan menolak.

Pada masa sama, Norizan berkongsi arwah suaminya seolah-olah sudah tahu akan pergi buat selamanya kerana sering mengingatkan mengenai perpisahan. 

“Dia memang macam dah tahu akan pergi, tapi tak berterus terang dengan saya. 

“Jumaat minggu lepas, sebelum kami tidur dia cakap ada benda yang kita tak boleh elak, antaranya perpisahan. Dia cakap kepada saya yang kami akan berpisah jadi saya akur dan mengiyakan sahaja, kata Norizan dalam nada sebak. 

Berkongsi detik terakhir bersama arwah, Norizan berkata dia dan anak-anak ada disamping suaminya sehingga nafas terakhirnya.

Terdahulu S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, 75, meninggal dunia di kediamannya di Kajang, petang ini akibat komplikasi jantung.

Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang pada jam 8 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, jam 11 pagi.
 
Hasil perkongsian hidup, Allahyarham dan Norizan dikurniakan enam orang anak dan 10 cucu.

Arwah juga memiliki empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply