Dapat pasangan poket tebal atau nipis, simpanan kecemasan wajib ada! Ini kena beringat dan bersedia dari awal perkahwinan.
Untuk permulaan, suami kena belajar hulur duit pada isteri. Jangan berkira dan kedekut bagi isteri sebab dalam susah, isteri juga yang akan hulur duit. Percayalah.
Kena Ada Simpanan Kecemasan
Meskipun isteri itu bekerja, sediakan duit tepi untuk orang rumah menyimpan. Ditambah pula dalam keadaan ekonomi sekarang, simpanan kecemasan suami isteri kena ada. Nak lagi jelas, jemput baca perkongsian Mohd Fadhli ini.
Sejak tahun 2014, di awal perkahwinan, saya hanya sediakan keperluan asas untuk isteri dan rumah sahaja. Antaranya barang makan dapur, sewa rumah dan pendidikan anak-anak. Itu pun dibahagikan dua dengan isteri.
Saya guna pendapatan isteri untuk menampung komitmen bulanan keluarga. Ini pun setelah berbincang. Isteri yang banyak uruskan kewangan. Sampai satu ketika, RM 10.00 saya minta isteri.
Bukan itu sahaja, duit belanja isteri untuk isteri ber ‘me time’ tak pernah saya beri sejak bernikah. Nak katakan hulur RM50.00 ni dua bulan sekali sahaja. Kadang-kadang tak beri apa-apa pun.
Syukur Isteri Faham
Tahun ini setelah 9 tahun usia perkahwinan kami, barulah saya ada upaya berikan duit poketnya. Paling tidak sebulan sekali. Jika dapat lebih dapatlah saya berikan sebulan dua kali.
Kalau dulu RM10.00 pun payah, Alhamdulillah setakat ni RM500.00 masih belum putus.
Ceritanya bukan pasal nilai duit tetapi soal persefahaman. Isteri mesti faham kedudukan suami. Isteri wajib tahu komitmen suami,hutang piutang dan baki duit dalam akaun atau beg duit suami.
Wujudkan Rasa Empati
Bukan nak ‘control’ tetapi memadailah ada rasa ihsan dan empati. Suami atau ayah kepada anak-anak ni tidak akan meminta jika tidak mendesak. Biasanya suami akan diam selagi mana dia mampu.
Sebab itu, suami isteri jangan malu untuk isytihar harta. Amanah dengan pasangan apa jua rezeki yang diperolehi. Sampai satu ketika jika suami mampu beri duit poket, jangan dipertikaikan nilai dan sumbernya.
Berdoa sahaja agar suami dimurahkan rezeki dan dikurniakan rezeki yang halal. Tapi jika dapat tahu suami dapat sumber yang haram, para isteri boleh pertikaikan.
Ini tidak, ada para isteri bila diberi sahaja duit poket dibalasnya ‘Ni je ke ?’, ‘Sikitnya bang’, ‘Bang, tak cukup….’. Sangat mendukacitakan.
Bersyukurlah kalian dapat. Daripada isteri saya 8 tahun lepas duit poket pun tiada. Alat solek untuk hias diri pun dia beli sendiri untuk suaminya.
Ingat para suami, rezeki yang kita dapat hari ini adalah doa daripada isteri tercinta. Jangan kedekut dengan isteri. Berilah seadanya.
Bila Pasangan Diuji, Bantulah
Sebab itulah para isteri yang berkerjaya wajib bantu suami. Paling tidak buat pelan kecemasan yang mengejut untuk suami. Kita tak tahu bila kudrat suami kita akan terhenti.
Mungkin terhenti kerana diuji sakit dan tak mampu bekerja atau meninggal dunia. Tatkala diuji inilah kita guna simpanan kecemasan tiba-tiba ini. Jangan mengeluh atau rasa membazir.
Bayangkan tiba-tiba suami kita stroke atau sakit jantung sehingga dah tak boleh kerja. Isteri yang perlu uruskan. Sampai satu peringkat isteri pula kena berhenti kerja sebab nak uruskan suami. Simpanan kecemasan atau hibah inilah akan bantu menampung.
Jangan kedekut, buatlah paling kecil RM50,000 atau yang mana mampu terus ambil RM1 juta. Kita tak tahu bila suami kita akan hilang kudratnya dan begitulah sebaliknya.
Saya tak sanggup isteri saya hilang dari saya dan pudar sayangnya tatkala saya lumpuh atau dah hilang kemampuan. Saya tak sanggup nak orang gaji jaga saya. Saya nak isteri saya jaga saya.
Bagi para isteri atau suami yang belum ada hibah/simpanan kecemasan buatlah.
Sekadar membuka mata pihak anda yang baru bergelar suami isteri, bersedialah dengan dunia menyimpan. Jangan terlalu ghairah membeli sesuatu kehendak yang kadang sampai buat anda berhutang!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.