PEMERGIAN komposer terkenal, Datuk S Atan yang meninggal dunia hari ini pada usia 75 tahun disifatkan sebagai kehilangan besar kepada industri muzik tanah air.
Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah berkata, peminat muzik tempatan pasti akan terasa dan merindui sentuhan lagu-lagu Melayu yang baik daripada Allahyarham.
“Kita kehilangan seorang yang begitu bermakna dalam industri muzik tempatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman Allahyarham S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said di Taman Bukit Kajang di sini hari ini.
Berita pemergian S Atan disahkan sendiri isterinya, Datin Norizan Yeob ketika dihubungi Bernama yang memaklumkan suaminya telah menghembuskan nafas terakhir di rumah akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Jamal berkata, dia mempunyai beberapa lagu yang diterbitkan oleh Allahyarham antaranya tiga lagu hari raya yang hingga kini masih menjadi siulan ramai.
“Secara peribadi, saya sangat hormati arwah. Beliau sangat tegas terutamanya ketika dalam studio rakaman,” katanya yang memaklumkan kali terakhir berhubung dengan arwah pada Selasa lepas.
Sementara itu, adik Allahyarham dan penulis lirik, Fatah Hasan atau lebih dikenali Belle Fatah mendedahkan beliau dan abangnya sedang menyiapkan satu projek bagi menerbitkan beberapa lagu untuk seorang artis wanita tempatan.
Fatah berkata, projek itu melibatkan keseluruhan lapan lagu iaitu tiga lagu dihasilkan oleh beliau dan lima lagi lagu akan dihasilkan oleh abangnya, namun Allahyarham sempat menyiapkan tiga lagu sahaja.
“Insya-ALLAH saya akan teruskan untuk menyiapkan projek ini dan tiga lagu yang telah dihasilkan oleh abang saya akan menjadi karya terakhir dan ‘masterpiece’ S Atan,” katanya.
Difahamkan jenazah S Atan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada jam 11 pagi esok.
Sebagai komposer, S Atan terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam beberapa penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.
Allahyarham juga banyak menghasilkan lagu untuk hari raya sejak hampir 50 tahun lepas, antaranya ‘Menjelang Hari Raya’ dendangan Datuk DJ Dave, ‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf ‘(Sudirman), ‘Cahaya Aidilfitri’ (Black Dog Bone), ‘Salam Aidilfitri’ (Jamal Abdillah), ‘Hari Mulia’ (Datuk Sheila Majid) dan ‘Indah Beraya di Desa’ (Azlina Aziz). – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.