PTPTN bantu ringan beban pelajar asnaf USM

Norliza (tengah) dan Muhammad Muhsin (dua dari kanan) menyampaikan replika kad sumbangan Simpan SSPN dan kotak makanan kepada penerima sumbangan.

SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada salah seorang pelajar asnaf Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Ziarah Kasih.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) itu diserahkan kepada Muhammad Danial Hamzah memandangkan pelajar berkenaan dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan dan dihimpit dengan pelbagai rintangan hidup.

Menurutnya, pelajar yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik itu juga mempunyai seorang adik orang kurang upaya (OKU) berumur 19 tahun.

“Selain itu, ibu kepada pelajar ini juga merupakan seorang ibu tunggal yang telah kematian suami pada 2022 akibat masalah jantung.

“Meskipun begitu, semangat dan dedikasi Muhammad Danial untuk berjaya dalam hidup tidak pernah pudar.

“Melihat kepada keperluan bantuan yang diperlukan keluarga berkenaan, PTPTN melalui program ini telah menyalurkan sumbangan di kediamannya di Penaga, Pulau Pinang bagi membantu dan meringankan beban pelajar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Norliza, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif untuk menyantuni golongan asnaf terutamanya komuniti pelajar bagi mengukuhkan hubungan dan menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat cabaran ekonomi serta sosial.

Beliau berkata, Muhammad Danial yang juga pelajar semester tiga berkenaan turut menerima bantuan zakat Pulau Pinang.

“Sumbangan ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar berkenaan untuk terus fokus terhadap pelajaran serta mencapai cita-cita yang diimpikan.

“Kami berasa terharu dapat membantu Muhammad Danial dalam perjalanan pendidikannya dan ini bukti kami menyokong setiap pelajar yang berpotensi dan berbakat dalam hidup.

“Melalui program ini, PTPTN dapat memberi sedikit kegembiraan kepada keluarga yang kurang bernasib baik serta memberi semangat untuk terus berusaha dalam pendidikan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norliza berkata, pihaknya turut berharap agar masyarakat lebih peka terhadap golongan yang memerlukan di sekitar komuniti mereka.

“PTPTN turut berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak agar lebih banyak keluarga dapat dibantu dan mendapat akses kepada pendidikan dan peluang lebih baik,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply