Negeri Sembilan Antlers melangkah ke pentas akhir Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024 selepas bangkit menewaskan Selangor Pistons dalam aksi rubber set 15-17, 15-9,15-9 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, sebentar tadi.
Selangor Pistons mempertaruhkan Zulkifli Razak (tekong), Arif Badri (pengumpan) dan Khairol Zaman (perejam). Manakala, Shahir Nasrudin meletakkan Haziq Nizam (tekong), Zulefendi Sumari (pengumpan) dan Hafizul Hayazi (perejam) dengan misi mara ke final.
Selangor bermula garang dengan ketajaman Zulkifli Razak atau lebih dikenali sebagai Sobey memastikan pasukannya mendahului 7-3 terlebih dahulu.
Walaupun Negeri Sembilan berjaya merapatkan jurang kedudukan kepada 14-14, namun pengalaman yang dimiliki Sobey menoktahkan kemenangan Selangor 15-14 dalam set pertama.
Begitupun, juara bertahan edisi 2023 itu kembali memperkemaskan corak serangan untuk bangkit menewaskan Selangor dalam set kedua dengan kemenangan 15-9, sekali gus mengheret pasukan dari Lembah Klang itu ke set penentuan.
Set penentuan bermula sengit dengan kedua-dua pasukan tidak mahu ketinggalan mata terlalu jauh. Namun terikat 9-9, Negeri Sembilan berjaya mencuri enam mata berturut-turut untuk mara ke final dengan kemenangan 15-9 dalam tempoh perlawanan 1 jam 27 minit secara keseluruhan.
Negeri Sembilan akan berdepan Kuala Lumpur (KL) Thunder di pentas akhir, manakala Selangor Pistons akan merebut tempat ketiga berdepan cabaran Perak Bison, esok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.