KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan anggota Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) kepada Pengarah Pendidikan Perak, Safuan Raba’ai di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.
Sejurus penyampaian itu, baginda turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM9.78 juta daripada tujuh syarikat korporat kepada MAIPk.
Penyerahan zakat perniagaan didahului Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisyam Ibrahim dengan jumlah RM1.05 juta.
Penyampaian diteruskan oleh Felcra Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim berjumlah RM1.03 juta diikuti Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad yang diwakili Pengerusinya Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi sebanyak RM128,523.
Sementara itu, Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad turut menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM423,276 yang diwakili oleh Pengerusinya, Nor Sharifuddin Yeop Sabar.
Lembaga Air Perak menjadi penyumbang bayaran tertinggi iaitu sebanyak RM4.7 juta dengan penyerahan disempurnakan Pengurus Besar, Lokman Abd Rahim.
Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul turut menyampaikan zakat perniagaan sebanyak RM1.78 juta sebelum diakhiri penyerahan oleh Menteri Besar Incorporated (MB Inc) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Anuar Zainal Abidin dengan bayaran berjumlah RM650,000.
Majlis tersebut disaksikan Menteri Besar, Seri Saarani Mohamad; Raja Kecil Sulong, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta pembesar-pembesar negeri.
Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Hazeman Md Salleh.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.