Fahmi ucap takziah kepada keluarga S Atan

Fahmi Fadzil. Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga komposer terkenal, Datuk S Atan yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata, pemergian komposer legenda itu, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun, merupakan kehilangan besar buat industri muzik tanah air.

“Setelah lebih empat dekad menyumbang bakti dalam bidang berkenaan serta menghasilkan lebih 1,000 lagu malar segar nyanyian penyanyi-penyanyi popular negara, pemergian Allahyarham pastinya amat dirasai.

“Takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

S Atan, atau nama sebenarnya Hashim Said, meninggal dunia di kediaman beliau di Taman Bukit Kajang Baru, Selangor petang tadi akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Beliau cukup terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam oleh penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Allahyarham juga banyak menghasilkan lagu raya sejak hampir 50 tahun lepas dan antara yang popular ialah Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave, Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya di Desa (Azlina Aziz). – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply