KUANTAN – Kejadian seorang pekerja kedai kosmetik di Jaya Gading di sini, yang diperdaya wanita tidak dikenali hingga tanpa sedar menyerah barang kemas miliknya menimbulkan kebimbangan kebanyakan pekerja kedai terutama wanita yang bekerja sendirian.
Rata-rata mereka mengetahui kisah tersebut selepas video kejadian itu tular di laman sosial selain melalui laporan akhbar.
Pekerja sebuah kedai runcit, Siti Nursyaidatul Syakirah Mohd Sabri, 20, mengakui agak bimbang dengan kejadian tersebut.
Dia yang bekerja bersendirian kini lebih berwaspada kerana bimbang kejadian serupa berulang.
“Saya dari dulu memang tidak pakai barang kemas semasa bekerja dan salah satu sebabnya mengelak kejadian seperti ini berlaku.
“Pada masa sama, pihak majikan turut melengkapkan kedai dengan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Perasaan sama dikongsi Siti Naliana Syarina Shaari, 20, kerana dia sendiri hampir menjadi mangsa kejadian hampir serupa sebelum ini.
“Sejak itu memang sentiasa berhati-hati terutama semasa bersendirian dalam kedai kerana penjenayah adakalanya menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak.
“Semasa bekerja, majikan pun pesan jangan pakai barang kemas kerana selain atas faktor keselamatan, bimbang juga ia tercicir tanpa sedar ketika menyusun atau mengangkat barang,” kata pekerja sebuah kedai permaidani dan keperluan bilik tidur di Taman PSJ di sini.
Dia berharap pihak polis melakukan rondaan lebih kerap di kawasan perniagaan terutama di pinggir-pinggir bandar.
Nur Alyana Muhammad Suhaimi, 32, yang baru hari pertama bekerja di sebuah kedai kosmetik dan keperluan wanita mengakui agak terkejut dengan kejadian itu.
“Minta jauh kejadian seperti ini berlaku semasa mencari rezeki.
“Harap kes ini dapat diselesaikan dan suspek terlibat ditangkap segera bagi mengelak lebih ramai yang menjadi mangsa,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.