Tragedi kepala air: Mangsa hantar video sungai kepada ibu sebelum lemas

Fatimah menunjukkan perbualan bersama Muhammad Ikram sebelum tragedi kepala air semasa menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang, dekat Gopeng, pada Jumaat.

JITRA – Mangsa lemas dalam tragedi kepala air semasa menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang, dekat Gopeng, pada Jumaat sempat menghantar keadaan video sungai kepada ibunya sebelum kejadian berlaku.

Ibunya, Fatimah Walad, 70, berkata, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, menghantar video berkenaan tiga jam sebelum kejadian melalui WhatsApp dan dia menasihatkan anaknya itu agar lebih berhati-hati.

Menurutnya, anaknya turut memberitahu hendak makan dahulu sebelum aktiviti rakit arus deras dan dia sempat menyuruh anak bongsu daripada empat beradik itu solat jamak terlebih dahulu kerana sudah masuk waktu zuhur.

“Dik jangan ralit, solat dulu sebab sudah masuk waktu solat. Dia kata ok. Selepas itu semasa kepala air naik dia ambil video dan WhatsApp dalam jam 3 petang dan kata mak (paras) air tinggi,” katanya semasa ditemui di Taman Permata, di sini pada pagi Sabtu.

Seorang anak saudara menunjukkan gambar Muhammad Ikram.

Jelasnya, kejadian sebenar yang menimpa Pegawai Khidmat Pelanggan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi itu hanya diketahuinya selepas waktu maghrib.

Menurutnya, dia hairan kenapa abang dan anak-anaknya datang ke rumahnya pada sebelah petang Jumaat.

“Mereka tidak maklum awal kepada makcik tentang kejadian menimpa Ikram kerana risaukan keadaan makcik yang tinggal seorang diri selain mempunyai masalah jantung,” ujarnya.

Selain itu, antara perubahan ketara yang ditunjukkan oleh Muhammad Ikram adalah pergaulannya yang erat dengan anaknya, Aisy Adani berusia setahun tujuh bulan sejak dua minggu lalu.

“Dua minggu ini, anak dia nak tidur dengan dengan abi sahaja, tidak mahu tidur atas bantal, nak tidur atas lengannya,” katanya lagi.

Tambahnya, arwah bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi sejak tiga tahun lalu dan tinggal bersendirian di sana.

“Sebelum ini dia tinggal dengan makcik selepas bapanya meninggal dunia sejak 2009 dan ketika makcik menjalani pembedahan jantung, tiga tahun lalu, dialah yang menjaga makcik.

“Namun selepas berkahwin dan dia dapat kerja di Langkawi, dia tinggal di sana sendirian di Kuarters JKR Langkawi manakala isterinya, Nur Afifah Amira Ahmad Fauzi, 29, dan anak tunggal mereka pula tinggal di rumah mentuanya di sini kerana isterinya bekerja di sebuah bank,” katanya.

Fatimah reda dengan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.

Sementara itu, rakan arwah, Mohd Faris Mohd Husin, 30, kakitangan JKR Pendang berkata, dia cuba menghantar WhatsApp kepada Muhammad Ikram pada jam 4 petang, semalam untuk mengetahui status keadaannya.

Menurutnya, dia sempat melihat status WhatsApp seorang lagi rakan mereka dan mendapati salah seorang mangsa lemas itu adalah Muhammad Ikram.

“Ketika itulah saya cuba menghantar WhatsApp kepada arwah untuk mengetahui keadaannya tetapi tidak dibalas menyebabkan saya syak berlaku sesuatu kepadanya sebelum dimaklumkan dia sudah tiada,” katanya.

Jenazah Muhammad Ikram yang tiba dari Perak pada jam 8 pagi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Melele, Kodiang pada Sabtu.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan identiti tiga individu meninggal dunia dipercayai lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng merupakan kakitangan JKR.

Identiti wanita lemas dikenal pasti sebagai Suhaili Mat Saad, 47, merupakan Jurutera Daerah JKR Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang manakala Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, masing-masing daripada JKR Langkawi, Kedah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply