SHAH ALAM – Sepasang suami isteri mengukir momen bersama apabila berkongsi pentas menerima segulung Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Penerima Anugerah Naib Canselor (ANC), Dr Muhammad Adli Syahmi Asyraf Alisha, 25, dan isterinya, Dr Siti Nursabrina Sheikh Ahmad antara graduan yang dirai dalam Majlis Konvokesyen ke-100 UiTM.
Menurut Dr Muhammad Adli Syahmi, dalam usaha mengecapi kejayaan itu, beliau berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya masalah kesihatan.
“Pada 2021, saya merupakan antara pelajar terawal dijangkiti Covid-19. Ia merupakan cabaran psikologikal bagi saya kerana saya rasa takut.
“Data mengenai Covid-19 pada ketika itu tidak banyak. Saya juga tidak tahu sama ada saya akan selamat atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UiTM pada Sabtu.
Tambahnya, beliau turut dikuarantin dan berkurung selama 11 bulan di kolej sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) merupakan suatu tekanan mental kerana tidak dapat bergaul dengan orang luar.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Adli Syahmi memberitahu bahawa tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan dan perlu pengorbanan, usaha berterusan, bijak menyeimbangkan antara kehidupan peribadi dan pembelajaran.
“Bagi saya tiada jalan mudah untuk kita mencapai satu kejayaan tetapi satu tip yang saya boleh kongsi adalah, perlu selalu mendekati pensyarah kerana mereka sangat berpengalaman. Mereka dapat memberikan nasihat yang berguna dan patut terapkan dalam pelajaran.
“Seterusnya, kita juga perlu pandai bahagi antara pelajaran dan kehidupan peribadi. Waktu bergelar pelajar, kita mesti utamakan pelajaran. Bercinta boleh tetapi jangan abaikan pelajaran dan hanyut sampai tersasar,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Siti Nursabrina turut berkongsi kisah bahawa beliau pernah gagal dalam peperiksaan, namun hal tersebut tidak mematahkan semangat untuk terus bangkit.
Walaupun pernah rasa mahu berputus asa, beliau berkata, setiap kejayaan yang ingin digapai memerlukan pengorbanan.
“Saya bangun setiap pagi, berdoa dan memohon restu kepada ALLAH dan ibu bapa serta berusaha bersungguh-sungguh dalam kelas dan di hospital.
“Saya tiada pilihan melainkan untuk bangkit semula, belajar lebih kuat daripada biasa dan sasar untuk lulus peperiksaan itu. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.