ALOR GAJAH – Biarpun semakin berusia namun seorang wanita dari Taman Jati Indah, Simpang Ampat di sini, masih kuat dan cekal menguruskan anak sulungnya yang menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Rohaya Abu Samah, 54 berkata, anaknya Muhammad Shukri Jailani, 34, diuji dengan penyakit itu sejak tiga tahun lalu sehinggakan anak sulung dari empat beradik itu tidak boleh bekerja dan menguruskan diri sendiri.
Menurutnya, lebih menyedihkan Muhammad Shukri perlu menjalani dialisis sebanyak tiga sesi di rumah hampir setiap hari dan ia memerlukan kos yang agak tinggi.
Malah katanya, suami Jailani Othman, 59, juga tidak mampu bekerja kerana mengalami masalah kesihatan dan wang pencen yang diterima pula tidak cukup menampung perbelanjaan keluarga.
“Disebabkan keadaan itu, demi kelangsungan hidup saya terpaksa mengambil upah menjadi pengasuh di rumah selain memberi perhatian kepada anak yang sakit.
“Itu tidak termasuk lagi dengan perbelanjaan anak yang masih bersekolah dan menuntut di universiti, dalam masa sama mencari pendapatan sampingan lain untuk meringankan beban,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, ibu kepada empat orang anak itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin menerusi Program Ziarah Kasih dan Santun Masyarakat DUN Taboh Naning.
Hadir sama, Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud.
Tambahnya, turut berdepan kesukaran untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri sehinggakan terpaksa menyewa teksi atau perkhidmatan e-hailing.
“Kebiasaannya dari rumah ke Hospital Melaka kos pengangkutan sekitar RM100 hingga RM120.
“Pernah juga kesihatan anak tidak stabil dan dia terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital pada tahun lalu,” katanya.
Jelasnya, dengan bantuan yang diberikan MAIM dan Jabatan Kebajikan Maayarakat (JKM) secara tidak langsung dapat meringankan beban yang dipikulnya.
“Sebenarnya saya segan untuk meminta-minta dan selagi terdaya saya cuba juga untuk usahakan sendiri,” katanya lagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.