Manfaat kecanggihan teknologi untuk kebaikan, bukan perpecahan

Laporan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.

TINDAKAN tidak bertanggungjawab pihak yang menyunting video wawancara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN boleh menimbulkan fitnah.

Video yang tular itu memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel dan mengelirukan di mana ia akan memberi kesan negatif kepada individu, masyarakat dan negara secara keseluruhan.

Penyuntingan video yang bertujuan untuk memfitnah atau menyebarkan maklumat palsu boleh merosakkan reputasi seseorang lebih-lebih individu berpengaruh.

Sebelum ini media melaporkan, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri iaitu Malaysia bakal terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.

Tangkap layar video wawancara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, fitnah dimainkan pihak yang menyunting video tersebut adalah bersifat tidak adil.

Ujarnya, Anwar dan kerajaan telah berulang kali menyatakan bahawa Malaysia tidak akan pernah berganjak daripada pendirian untuk memperjuangkan Palestin serta rakyatnya.

Fahmi berkata, penyelesaian dua negara ataupun ‘two-states solution’ yang disebut Perdana Menteri dalam wawancara tersebut juga adalah pendirian Malaysia sejak dahulu, malah pernah disebut bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau berkata, kenyataan cadangan solusi tersebut pernah dinyatakan bekas Perdana Menteri pada 2002, 2005, 2016, 2020 dan 2021.

Sementara itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan untuk meneliti dan membuat siasatan terhadap penularan video berunsur fitnah berkenaan.

Situasi seperti ini boleh mempengaruhi kepercayaan masyarakat terhadap pendirian kerajaan dalam membela nasib rakyat Palestin yang dijajah rejim Zionis Israel.

Salah satu kesan terbesar dari penyalahgunaan teknologi ini adalah penyebaran berita palsu yang akan tular dengan pantas melalui media sosial.

Masyarakat yang tidak memeriksa kesahihan maklumat boleh terpengaruh dengan berita palsu ini, yang akhirnya menjejaskan pemahaman mereka terhadap isu-isu penting.

Jika teknologi penyuntingan video digunakan untuk memfitnah pemimpin atau institusi penting, ia boleh merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem dan institusi tersebut.

Satu tindakan awal boleh dilakukan dalam membendung situasi ini daripada terus membelengu masyarakat iaitu menerusi pendidikan dan kesedaran mengenai literasi digital.

Masyarakat perlu dilatih untuk mengenali dan menilai sumber maklumat dengan lebih bijak, serta memahami cara-cara manipulasi digital yang boleh digunakan untuk menipu atau memfitnah.

Secara keseluruhan, penting bagi setiap individu dan masyarakat untuk bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi serta memastikan bahawa ia digunakan untuk kebaikan bersama dan bukan untuk tujuan merosakkan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply