GUNAWAN Sadbor berasal dari Margasari, Desa Bojongkembar, Kecamatan Cikembar, Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat. Beliau menjadikan desanya terkenal oleh sebab joget Beras Habis Bor secara live di TikTok.
Gerak tari itu juga diberikan nama ‘ayam patuk’. Seisi kampung diajaknya menari gaya unik itu menyebabkan beliau dan desanya menjadi fenomena TikTok yang luar biasa viralnya. Margasari menjadi ‘Desa TikTok’ yang terkenal.
Akaun TikTok @sadbor86 mendapat ikutan hampir 700,000 netizen. Setiap videonya ditonton jutaan kali, malah ada yang sampai 30 juta kali.
Pencipta kandungan ‘ayam patuk’ ini memberikan bukan sahaja kemasyhuran buat desanya tetapi pendapatan untuk beliau dan kawan-kawannya. Pendapatan melalui talian yang diperolehnya dikatakan puluhan juta rupiah sehari.
Ada yang berpendapat itu cara meminta sedekah melalui talian tetapi bagi Gunawan cara itu adalah pendapatan halal yang disumbangkan oleh warganet yang menyukai tarian ‘ayam patuk’.
Pimpinan politik setempat juga mempertahankan apa yang berlaku di desa itu. Hasil daripada ciptaan kandungan itu memberikan pendapatan tambahan di wilayah yang rata-rata penduduknya miskin.
“Mereka tetap petani, tapi petani yang kreatif,” kata seorang timbalan menteri. Dengan cara itu juga akan mengekalkan petani generasi muda di situ bagi mengelakkan mereka berhijrah ke kota-kota besar.
Kini Gunawan dikenali kerana perkara lain. Bersama seorang temannya, Ahmad Supendi dari desa itu, beliau telah ditahan oleh polis. Desa itu kembali sepi.
‘Ayam patuk’ yang ditarikan ada kalanya oleh puluhan anak-anak muda desa kini tidak muncul lagi. Joget TikTok secara live tiada lagi. Apakah yang sebenarnya berlaku?
Gunawan dikatakan mempromosikan judi dalam talian atau di Indonesia dikenal dengan pendekan judol (judi online). Gunawan sendiri mendakwa beliau tidak tahu menahu bahawa kandungan TikToknya digunakan untuk tujuan itu. Beliau tidak pernah menjadi ejen mana-mana syarikat judi online.
Beliau juga mendakwa tidak pernah mendapat keuntungan daripada pengusaha judi. Banyak netizen mempercayai beliau. Ada kemungkinan mafia judi dalam talian menggunakan akaun TikToknya yang sangat viral itu untuk tujuan tersebut.
Banyak pihak mempersoalkan penangkapan dua orang petani itu. Mereka menanyakan bagaimana tentang selebriti terkenal serta pempengaruh atau influencer yang secara terbuka mempromosikan judi di talian?
Mengapa mereka tidak ditangkap sama? Banyak daripada mereka telah melakukannya lama sebelum Gunawan menjadi terkenal di TikTok.
Antara artis dan pempengaruh yang dikaitkan dengan promosi judi dalam talian ialah Arief Muhammad, Nikita Mirzani, Charly van Houten, Zaskia Gotik, Karlina Oktarani, Tyas Mirasih, Hana Hanafiah, Wulan Guritno, Denny Cagur dan Jessica Iskandar.
Desakan untuk mereka turut disiasat semakin berkumandang. Maka itu timbullah tuduhan pilih kasih bahawa orang-orang kecil seperti Gunawan dan Ahmad Supendi dari desa terpencil ditangkap, sedangkan selebriti tersohor bebas lepas.
Seperti Gunawan juga, kebanyakan mereka mendakwa tidak tahu bahawa akaun yang dipromosikan merupakan akaun judi dalam talian.
Mujurlah berita yang terbaharu menyebutkan bahawa Gunawan dan rakan-rakannya telah dibebaskan oleh polis. Malah beliau dilantik sebagai duta antijudi dalam talian.
ANCAMAN BAHARU
Judi dalam talian merupakan ancaman baharu yang menakutkan bagi rakyat Indonesia. Nilai judi dalam talian dikatakan melebihi Rp270 triliun (RM68 bilion) setahun. Wabak judi dalam talian mulai merosakkan kehidupan jutaan rakyat Indonesia.
Menurut laporan media yang terbabit terdiri daripada kanak-kanak hingga warga emas. Dipercayai lebih lapan juta rakyat terbabit yang sebahagian besarnya rakyat bawahan.
Namun ada laporan mengatakan bahawa terdapat ahli Dewan Perundingan Rakyat (DPR) dan Daerah (DPRD) yang terlibat selain anggota polis dan tentera.
Indonesia kini digoncang oleh wabak sosial yang sama dahsyatnya dengan penyalahgunaan dadah. Pelbagai berita mengenai tanggungan hutang, kerosakan rumah tangga malah bunuh diri dan pelbagai kes ugutan dan pembunuhan menjadi tular.
Maka itu Presiden Indonesia yang baru dilantik, Prabowo Subianto mengarahkan judi dalam talian diperangi habis-habisan.
Prabowo meminta Jaksa Agung, ST Burhanuddin; Ketua Polis Indonesia (Kapolri), Jenderal Listyo Sigit dan Ketua Badan Intelijen Negara (BIN), M Herindra untuk memberikan tumpuan membanteras judi dalam talian.
Perhatian masyarakat Indonesia kini tertumpu pada Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) yang sebelum ini dipimpin oleh Budi Arie Setiadi.
Kementerian ini bagaimanapun ditukar nama menjadi Kementerian Komunikasi dan Digital (Komdigi) dalam rombakan terbaru oleh Prabowo.
Menterinya adalah Meutya Viada Hafid. Budi Arie dipindahkan menjadi Menteri Koperasi Indonesia.
Apa yang berlaku di Komdigi cukup menggemparkan. Ada isu salah guna kuasa, pecah amanah dan pengkhianatan di situ. Terdapat petugas penting yang dipercayai menjadi pelindung penguasa judi dalam talian.
Dipercayai mereka ini berada dalam kedudukan strategik untuk memantau, menyekat atau menurunkan tapak web (situs) judi dalam talian.
Tempat operasi pemantauan Komdigi adalah di pejabat satelit di Jakasetia, Bekasi Selatan, Kota Bekadi. Mereka melindungi tapak tersebut sebaliknya menurunkan tapak yang tidak penting dan tidak berkaitan.
Polis Jakarta baru-baru ini menahan 17 orang yang dipercayai boleh membantu mereka dalam siasatan. Daripada 17 orang, 10 adalah petugas Komdigi. Tujuh yang lain merupakan orang awam.
Rakyat Indonesia dikejutkan dengan beberapa tindakan Komdigi sebelum ini yang melantik para petugas dengan cara tidak mengikut peraturan.
Besar kemungkinan individu ini diberikan tugas melindungi pengusaha judi haram. Malah ada desakan agar Budi Arie disiasat sama memandangkan beberapa orang di sekeliling beliau turut disyaki.
Dipercayai juga dalang sebenar judi dalam talian adalah orang yang ‘kebal’ dan sukar disentuh.
Rakyat sedang memerhatikan apakah kerajaan Prabowo Subianto berjaya dalam perang ini.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau kini banyak memberikan perhatian pada isu politik, kebudayaan dan kesusasteraan Indonesia
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.