KPM perkenal kurikulum baharu prasekolah pada 2026

Fadlina ketika ditemui pemberita kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pantai Port Dickson Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Pantai Batu 5 di sini pada Jumaat.

PORT DICKSON – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengukuhkan penggunaan 50 peratus Bahasa Melayu dan 50 peratus Bahasa Inggeris melalui modul baharu kurikulum prasekolah pada tahun 2026.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang meneliti semua modul pendidikan pra sekolah di semua peringkat untuk dijadikan penanda aras bagi pelaksanaan kurikulum baharu itu.

“Beberapa pendekatan pendidikan bersepadu akan kita beri tumpuan termasuk pengukuhan dari segi bahasa, maknanya penggunaan 50 peratus Bahasa Melayu dan 50 peratus Bahasa Inggeris.

“Kita akan tengok modul pra sekolah KPM, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan begitu juga di peringkat-peringkat lain yang kita kenal pasti dapat dijadikan penanda aras modul pra sekolah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pantai Port Dickson Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Pantai Batu 5 di sini pada Jumaat.

Fadlina (dua dari kanan) dan Aminuddin (tiga dari kiri) bersama kanak-kanak yang memenangi pertandingan pakaian kreatif.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, antara lain yang akan diberi perhatian dalam modul baharu itu termasuklah memberi tumpuan pendidikan karektor murid-murid dalam pelbagai aspek.

Sebagai persediaan, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengadakan sesi libat urus khususnya memberi penjelasan kepada semua pihak bagaimana kitaran baharu itu dapat memberi kesan positif kepada anak-anak.

Pada masa sama katanya, semua guru pra sekolah juga akan dipastikan mempunyai tahap pendidikan tertinggi peringkat Ijazah berbanding sekarang yang kebanyakannya memiliki Diploma.

“Bila kita sebut tentang penyelarasan kurikulum di semua peringkat pra sekolah, tentunya keupayaan guru-guru juga jadi keutamaan.

“Keupayaan guru-guru kita adalah kompentensif, maknanya ada guru-guru kita mempunyai Ijazah kerana di negara ini minimumnya adalah Diploma dan kita sedang tingkat keupayaan itu,” katanya.

Selain itu, ibu bapa juga disarankan memberi komitmen dengan menggalakkan anak-anak menerima pendidikan awal prasekolah khususnya diterajui KPM.

Beliau berkata terdapat tiga aspek penting peringkat prasekolah iaitu menangani isu keciciran pembelajaran, program pemakanan sihat dan intervensi keperluan pendidikan khas

“Enrolmen prasekolah mencabar kerana kita tiada dasar pendidikan wajib bagi peringkat prasekolah, ketika ini enrolmen mencapai 91.7 peratus dan KPM sedang bekerja keras bagi mengalakkan ibu bapa memberikan pendidikan awal kepada anak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berharap semua pihak tidak menyalah tafsir usaha KPM memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula dari Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.

“Dengarlah dulu penjelasan kita. Kita sebut elemen TVET bukannya subjek. Bila saya sebut elemen bermakna ada ciri-ciri dan pendekatan TVET.

“Saya ingat mana-mana yang tidak begitu jelas, saya saran datang kepada KPM dan kita terbuka untuk buat penjelasan serta sama-sama berbincang,”katanya.

Ini kerana katanya, ketika ini sesi libat urus sedang berlangsung di semua peringkat khususnya untuk membuat persiapan guru-guru bagi menuju Kurikulum 2027.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply