Tokoh sukan bola keranjang Yeoh Choo Hock meninggal dunia

Mendiang Choo Hock merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap bola keranjang di Malaysia, malah melangkaui Asia Tenggara. Foto MABA

TOKOH sukan bola keranjang dan pentadbir sukan antarabangsa ternama, Datuk Yeoh Choo Hock meninggal dunia pagi ini.

Choo Hock yang dijadual menyambut ulang tahunnya ke-80 pada 10 Disember ini, meninggal dunia di sebuah hospital di Cyberjaya, meninggalkan isteri, dua anak perempuan dan lima cucu.

Bekas setiausahanya Lilian Mah berkata, Choo Hock telah dimasukkan ke hospital kerana kesukaran bernafas.

Mendiang banyak menyumbang masa dan tenaga selama lebih tiga dekad kepada acara sukan bola keranjang, bermula sebagai pemain dan membina kerjaya yang luar biasa dalam pentadbiran bola keranjang, termasuk tempoh 17 tahun sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dari 1990 hingga 2007, dan sebagai Naib Presiden dari 2008 hingga 2009.

Pencapaian cemerlang beliau termasuk mengetuai pasukan bola keranjang kebangsaan Malaysia meraih pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan mempromosikan bola keranjang antarabangsa dengan menganjurkan kejohanan besar seperti Kejohanan Bola Keranjang Wanita Dunia di Malaysia.

Choo Hock merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap bola keranjang di Malaysia, malah melangkaui Asia Tenggara, sehingga beliau diberi penghormatan menjadi Setiausaha Agung Emeritus Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) Asia.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA) (1994-2006), Setiausaha Agung FIBA-Asia (1998-2012) dan Naib Presiden FIBA ​​(2003-2006). Beliau juga memegang jawatan Pesuruhjaya FIBA ​​di empat Sukan Olimpik dan beberapa Kejohanan Dunia FIBA.

Bagi menghormati sumbangan dan legasi Choo Hock yang tidak ternilai dalam sukan itu, Presiden MABA Datuk Seri Lee Tian baru-baru ini mencalonkan nama mendiang untuk disenaraikan dalam Hall of Fame Bola Keranjang FIBA.

Terletak di Mies, Switzerland, Hall of Fame Bola Keranjang FIBA ditubuhkan pada tahun 1991 bagi mengiktiraf individu yang telah membuat sumbangan besar kepada bola keranjang antarabangsa.

MABA dalam kenyataan hari ini berkata Choo Hock lebih daripada seorang pentadbir semata-mata, malah beliau juga seorang pemimpin yang berwawasan, mentor dan memberi inspirasi kepada semua orang yang mengenalinya.

“Dedikasinya yang tidak mengenal penat lelah terhadap kemajuan bola keranjang adalah warisan yang akan kekal dalam diri pemain, jurulatih dan peminat yang tidak terkira banyaknya, menjadi inspirasi kepada semua di sepanjang hayatnya. Impaknya terhadap bola keranjang Malaysia dan antarabangsa tidak terkira,” katanya. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply