GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Pulau Pinang melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian bernilai RM10.1 juta.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, rampasan dibuat melalui Ops Joint yang turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 4 November lalu.
Menurutnya, hasil risikan dan maklumat diterima, pihaknya menyerbu dua buah premis di sekitar Bandar Jelutong bagi mengambil tindakan ke atas penjualan produk tradisional tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian.
“Dalam serbuan itu kita merampas hampir 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan lebih 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi di dalam premis terbabit.
“Operasi yang dijalankan ini membuktikan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi termasuk penjualan secara dalam talian yang telah menjadi trend pada masa kini,”katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Dr Fazilah berkata, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman sesawang, platform media sosial serta aplikasi e-dagang dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah.
Jelasnya, penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Katanya, sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.