Genting Malaysia terima anugerah Halal Champion Negeri Pahang

Rajis Othman (tiga dari kanan) menerima anugerah Halal Champion Negeri Pahang ketika Majlis Pelancaran Halal on Track Pahang 2024 yang disampaikan oleh Ahmad Zahid

SHAH ALAM – Syarikat terkemuka dalam bidang rekreasi dan hospitaliti, Genting Malaysia Berhad mendapat pengiktirafan sebagai Halal Champion Negeri Pahang di majlis pelancaran Halal on Track Pahang 2024.

Penyerahan anugerah yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan itu dihadiri oleh Pengerusi Halal Dalaman Resorts World Genting, Rajis Othman.

Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu diberi selepas penyerahan status halal dan penilaian menyeluruh oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) terhadap operasi harian dan latihan selain dokumentasi Jom Makan SkyAvenue serta Jom Makan Street Food yang dimiliki dan diuruskan Resorts World Genting.

Menurutnya, Genting Malaysia berjaya menduduki tempat 10 teratas daripada 1,500 pencalonan status halal.

“Jom Makan SkyAvenue dan Jom Makan Street Food merupakan restoran gaya medan selera berskala besar di Resorts World Genting sertamematuhi standard halal yang ditetapkan.

“Restoran ini menawarkan pelbagai makanan jalanan Malaysia yang asli. Kedua-duanya popular dalam kalangan ribuan pengunjung harian ke resort yang terletak di puncak gunung Malaysia.

“Ini kerana perkhidmatan cepat, pilihan makanan banyak dan harga berpatutan. Chef di sini menyediakan hidangan mengikut resipi tradisional yang tepat, beberapa daripadanya telah berada dalam arkib makanan resort selama lebih 60 tahun,” katanya pada Jumaat.

Turut hadir ke anugerah tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhainee dan Pengarah Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan, Ahmad Syukry Ibrahim.

Tambah kenyataan tersebut, Jom Makan Street Food terkenal dengan Nasi Briyani, Nasi Goreng Kampong, Naan dengan Set Tandoori dan Char Kway Teow manakala Jom Makan SkyAvenue menawarkan antara kepakaran yang lebih popular seperti Nasi Kandar Kari Kambing, Nasi Lemak Bungkus, Mi Kari dan Lotus Curry Bun.

Genting Malaysia Berhad turut berpendapat bahawa Halal on Track Pahang adalah bukti komitmen kerajaan persekutuan dan negeri menerusi kerjasama antara JAKIM serta JAIP dalam memperkukuhkan pensijilan halal Malaysia.

“Program itu bertujuan untuk melaksanakan pendekatan mesra industri yang memberikan sokongan yang diperlukan kepada usahawan untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pematuhan produk makanan mereka kepada undang-undang pemakanan Islam,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, pihaknya sangat gembira apabila diiktiraf sebagai Halal Champion Negeri Pahang.

“Anugerah ini menunjukkan dedikasi Genting Malaysia terhadap amalan halal dalam F&B sambil menumpukan kepada keterangkuman, kualiti dan kemudahan.

“Ini adalah satu pencapaian penting yang memberi kami asas kukuh untuk mengembangkan lagi tawaran halal kami di Resorts World Genting,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply