269 pesawah terkesan kemarau terima bantuan tabung bencana

Arthur menyempurnakan penyampaian bantuan kepada pesawah yang terjejas akibat kemarau di Kampung Pirasan, Kota Kinabalu.

KOTA BELUD – Sebanyak RM286,000 wang daripada Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) diagihkan kepada 269 pesawah yang terkesan akibat bencana kemarau di kawasan jelapang padi Sabah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kemarau yang melanda di Kota Belud pada Januari hingga April lalu telah menyebabkan kerosakan tanaman padi seluas 330.69 hektar.

“Peruntukan ini merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi meringankan beban pesawah ekoran musibah bencana kemarau yang dihadapi.

“Bantuan diberikan berdasarkan kepada tempoh usia pokok padi yang rosak akibat kemarau dengan anggaran nilai maksimum hingga RM1,800 setiap hektar dengan keluasan maksimum tiga hektar,” katanya pada Program Penyerahan TBTP di Kampung Pirasan di sini, pada Jumaat.

Katanya lagi, KPKM dengan kerjasama Agrobank telah melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi pada September lalu, bagi memberi perlindungan kepada pesawah daripada risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, serangan penyakit serta makhluk perosak yang sering mengancam tanaman padi.

“Warga pesawah diharap menyertai skim takaful tersebut yang menawarkan nilai maksimum sebanyak RM3,000 untuk setiap hektar semusim bagi menangani risiko yang dihadapi mereka dengan kadar pampasan lebih baik, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dalam program sama, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyampaikan alat bantuan jentera merangkumi dua jentuai dan dua jentera pembajak bernilai RM880,000 yang akan memberi manfaat kepada seramai 200 petani dengan sasaran keluasan 600 hektar.

“Bantuan jentera tersebut adalah selaras dengan hasrat KPKM untuk memastikan aspek pemodenan teknologi yang fokus peningkatan teknologi, automasi dan mekanisasi dalam operasi di ladang dilaksanakan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan petani.

“Kota Belud merupakan kawasan jelapang padi bagi Sabah dengan keluasan bertanam daerah mencapai lebih 8,000 hektar dan merupakan kawasan yang terbesar bertanam padi di negeri ini,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply