Hari ini, pihak Polis Diraja Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah menubuhkan sebuah unit baru yang dinamakan Unit Siber Teknikal dan Taktikal untuk membantu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam membendung pelbagai jenayah siber dan atas talian yang berlaku di Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengatakan bahawa sebanyak 17 perjawatan telah diisi untuk membolehkan unit tersebut untuk memulakan operasi fasa pertama untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap pelbagai jenayah siber yang berlaku di negara ini.
Buat masa ini, oleh kerana tiada peruntukan untuk perjawatan baharu, pihak PDRM menggunakan anggota dalaman sedia ada untuk menjawat anggota didalam unit ini.
“Langkah ini diharapkan dapat menambah keupayaan PDRM dalam menangani ancaman siber secara efektif” katanya ketika Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JSJK di Bukit Aman hari ini.
Dengan penggunaan teknologi AI baru-baru ini, beliau turut mengatakan bahawa modus operandi para penjenayah digital ini semakin rumit. Teknologi seperti deepfake dalam bentuk video, audio dan juga gambar menjadikan maklumat palsu membolehkan mereka untuk memperdayai orang ramai dengan lebih mudah.
Untuk membolehkan pihak PDRM untuk memudahkan proses penguatkuasaan undang-undang, pindaan kepada Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah yang diluluskan di Dewan Rakyat pada bulan Julai 2024 akan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang jenayah komersil.
Pindaan kepada Seksyen 424 termasuklah kesalahan berkaitan penggunaan akaun keldai; termasuklah memiliki, mengawal dan menggunakan kad ATM, kad kredit, dompet digital dan sebarang instrumen pembayaran yang digunakan untuk tujuan penipuan.
Pindaan kepada Seksyen 116D pula memberi kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang daripada Sarjan untuk merampas instrumen pembayaran ini dan menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan.
Tan Sri Razarudin Husain mengatakan lagi bahawa dari Januari ke September 2024, sebanyak 24,671 kes jenayah penipuan atas talian telah dilaporkan dengan nilai kerugian dianggarkan setinggi RM1.04 bilion. Enam jenis jenayah atas talian yang sering diperlihatkan di Malaysia termasuklah jenayah telekomunikasi, e-kewangan, e-dagang, Love Scam, pinjaman dan pelaburan palsu.
Dalam langkah menangani kes-kes jenayah ini, beliau juga mengatakan bahawa dari Januari sehingga September tahun ini, sebanyak 17,661 operasi dan serbuan dilakukan, dan seramai 18,506 individu telah ditangkap dibawah kesalahan-kesalahan jenayah komersil.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.