KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini yang disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.
Dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh di sini pada Khamis, tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam operasi itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek.
Menurutnya, berdasarkan risikan, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah kerana kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang telah digali sebelum 2022.
“Bagaimanapun hasil siasatan dijalankan mendapati, mereka turut melakukan kerja memunggah keluar hasil galian baru digali dan bagi melindungi kegiatan itu, beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit telah membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.
“Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Azam berkata, SPRM kini dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah yang terlibat.
Sementara itu katanya, susulan serbuan itu, SPRM telah membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.
“Di lokasi itu, lima jentera iaitu empat unit jengkaut, sebuah shovel loader dan tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan sitaan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.
“Selain sitaan di lokasi terbabit, lapan unit lori pengangkut turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng,” katanya.
Sementara itu, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan di sini untuk perintah reman.
Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga lelaki itu direman selama enam hari sehingga 19 November ini.
Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.