ABU DHABI – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
“Saya telah meneliti laporan-laporan media tentang rakaman perbualan tersebut dan mendapati pendirian Hajiji harus menjadi pegangan kepada pemimpin parti lain.
“Sebagaimana kita ketahui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan berlangsung sebelum berakhir penggalnya pada bulan Oktober 2025 nanti dan kita harus menjangkakan apa juga apa akan berlaku bergantung kepada hasil siasatan yang diteruskan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyerahkan kepada pihak SPRM menyiasat dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah tersebut.
Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad menganggap ada pihak mengambil kesempatan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) selepas suara salah seorang individu dalam perbualan rakaman video didakwa adalah miliknya.
Ekoran pendedahan itu, Hajiji turut meminta pihak berkuasa turut menyiasat pemberi rasuah kerana mendakwa kerana pihak tersebut mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.
Tambah Ahmad Zahid lagi, semua pihak harus menjangkakan apa juga akan berlaku di masa depan bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
“Hari ni berlangsung pembentangan Belanjawan negeri Sabah dan saya berharap siasatan ini tidak akan mengganggu sesi perbahasan dan PRN negeri Sabah nanti,” katanya lagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.