Ulasan Acer Swift 14 AI – AI Di Nama, Hebat Di Mata

Beberapa minggu lalu saya telah mengulas tentang salah satu daripada komputer riba Intel Lunar Lake atau Core Ultra 200V yang memasuki pasaran, ASUS Zenbook S 14. Tidak lama selepas itu, Acer Malaysia telah menanyakan kepada saya jika saya berminat untuk mengulas tentang komputer riba mereka pula yang juga akan dikuasakan oleh siri cip pemprosesan yang sama, iaitu Acer Swift 14 AI.

Sudah tentu saya jawab ya, kerana saya cukup berminat untuk mengesahkan sendiri samada cip pemprosesan Lunar Lake yang digunakan adalah seperti apa yang saya alami sebelum ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Nama Model Acer Swift 14 AI
Saiz Paparan 14.0″ 1920×1200, 16:10,
60Hz, 500 nits
Pemproses Intel Core Ultra 7 285V
8 Teras
Cip Grafik Intel Arc 140V
RAM 32GB LPDDR5X
Muatan Dalaman 512GB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD
Kamera Full HD 1080P
Palam I/O 2 x USB 4.0 Gen 3 Type-C (Thunderbolt 4)
2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A
1 x HDMI 2.1 TMDS
1 x bicu audio 3.5mm
Sistem Operasi Windows 11 Home
Sekuriti Imbasan Cap jari (Windows Hello)
Bateri 63WHrs, 4-cell Li-ion
Pengecas 100W
Harga RM4,999

Acer Swift 14 AI, seperti yang dapat dibaca pada namanya, hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 14.0 inci dengan resolusi WUXGA 1920×1200 dengan nisbah paparan 16:10 dan kadar segar semula 60Hz. Bukan itu sahaja, paparan ini juga tampil dengan nilai kecerahan 500 nit yang boleh saya katakan adalah cukup terang sekali. Dengan nilai kecerahan ini juga tampil dengan sokongan untuk teknologi paparan DIsplayHDR True Black 500 yang memastikan bahawa paparan ini boleh memperlihatkan warna yang jitu dan ranggi tidak kira nilai kecerahannya.

Menguasakan komputer riba ini ialah cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258V, cip pemprosesan sama yang saya uji pada komputer riba ASUS Zenbook S 14 sebelum ini yang tampil dengan memori LPDDR5X sebanyak 32GB yang terbina didalamnya. Dari segi storan pula, Acer Swift 14 AI ini tampil dengan SSD PCIe4 sebesar 512GB.

Dari segi penawaran palam, komputer riba ini tampil dengan dua palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk mengecas komputer riba ini dan untuk menghantar data dari dan ke komputer riba ini dengan cukup pantas sekali.

Ia juga mempunyai dua palam USB 3.2 Type-A yang boleh digunakan untuk memasang aksesori yang memerlukan palam USB Type-A untuk dipasang kepada komputer riba ini. Jika anda mahu menggunakan paparan skrin yang lebih besar bersama-sama dengan komputer riba ini, ia juga mempunyai palam HDMI 2.1 yang menyokong paparan skrin dengan resolusi setinggi 4K tanpa masalah.

Dari segi rekaan komputer riba, ia diperbuat daripada logam aluminum, dan berat penuh komputer riba ini hanyalah setinggi 1.36KG, yang pada pendapat saya tidaklah begitu berat, dan mudah untuk digunakan dan dibawa kemana-mana.

Mungkin satu perkara yang saya tidak begitu gemari ialah papan kekunci komputer riba ini, yang pada pendapat saya adalah agak kekok untuk digunakan kerana permukaannya rasa agak kasar dan “murah”, dan ia rasa sedikit “cetek”. Walaupun begitu, ia tampil dengan sistem pencahayaan latar yang cukup berguna khususnya jika anda menaip dalam gelap.

Pengalaman Pengguna

Sebagai seorang pengguna komputer riba Acer untuk beberapa tahun (Acer Swift X 14), menggunakan komputer riba Acer Swift 14 AI ini adalah seperti sebuah nafas segar dari segi prestasi dan juga kecekapan.

Secara lazimnya, tugasan saya di pejabat adalah untuk menulis artikel atas talian, dan kadang kala untuk menyunting gambar yang digunakan untuk artikel-artikel tersebut, ataupun ulasan yang saya tulis. Saya juga akan menggunakan komputer riba tersebut untuk menulis tentang sebarang acara yang saya hadir di bandar ataupun luar negara.

Dari segi prestasi, saya berani katakan bahawa Acer Swift 14 AI tampil dengan kemampuan dengan komputer riba Swift X 14 saya sebelum ini, tetapi hadir dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan yang memudahkan saya untuk membawa komputer riba ini kemana-mana dengan mudah.

Digabungkan lagi dengan jangka-hayat bateri yang panjang, satu pengecasan penuh pada waktu pagi bermakna bahawa saya boleh menggunakan komputer riba ini sepanjang hari hinggalah ke waktu malam jika saya mahukan dengan tetapan kecerahan paparan yang membolehkan saya menggunakan komputer riba ini selama 10-11 jam tanpa masalah.

Mungkin satu benda yang saya tidak berapa suka ialah aplikasi gendut yang dipasang pada komputer riba ini, seperti perisian sekuriti dan VPN yang seringkali memperlihatkan menu pop-up. Saya biasanya boleh mengendahkan sahaja perisian gendut, tetapi apabila ia dipaparkan sebagai sebuah iklan apabila saya menggunakan komputer, ia rasa sangat menjengkelkan.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, penggunaan paparan OLED pada komputer riba ini menjanjikan kejituan olahan warna yang cukup tinggi sekali, dan sepanjang saya menggunakan komputer riba ini untuk menonton video di YouTube dan Netflix, saya tidak ada sebarang kegusaran tentang bagaimana kandungan dipaparkan.

Dari segi kualiti audio, kelantangannya cukup kuat, tetapi saranan saya ialah mungkin untuk anda tetapkan pada kadar 50 peratus sahaja, kerana dalam pengalaman saya, pada tahap audio yang lebih tinggi, bunyi bingit dapat didengari dan ini sedikit sebanyak akan merosakkan pengalaman tontonan anda.

Gaming

Pada ulasan ASUS Zenbook 14 S saya sebelum ini, saya telah mengatakan bahawa cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V adalah cukup berkuasa untuk digunakan untuk tujuan gaming, khususnya dengan cip pemprosesan grafik Intel Arc 140V yang terbina didalam cip pemprosesan ini.

Sebelum ini saya telah menguji komputer riba tersebut dengan permainan video Diablo IV, dan mendapati bahawa dengan perubahan beberapa tetapan, ia boleh dimainkan pada kadar menghampiri 60FPS pada resolusi Full HD.

Kali ini, saya mencuba dua permainan berbeza, iaitu Doom dan juga PUBG untuk melihat samada komputer riba ini mempunyai kebolehan untuk menggerakkan permainan komputer moden pada kadar bingkai 60FPS.

Dalam pengalaman saya, kedua-dua permainan komputer boleh digerakkan pada kadar bingkai 45-50FPS pada resolusi Full HD, tetapi jika anda mahukan kadar bingkai yang lebih tinggi, anda mungkin perlu mengorbankan tetapan grafik yang lebih mendalam.

Sama seperti komputer riba sebelum ini, saranan kami ialah untuk memastikan bahawa komputer riba ini sentiasa dipasangkan kepada bekalan kuasa untuk mengekalkan prestasi yang sebaik mungkin.

Kecerdasan Buatan

Dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V, banyak yang diperkatakan tentang bagaimana kecerdasan buatan akan mengubah cara kita menggunakan komputer riba. Sayangnya, ciri-ciri yang diwar-warkan oleh Microsoft khususnya dengan penjenamaan Copilot+ PC masih lagi tidak nampak buahnya.

Ciri Windows Recall khususnya, salah satu ciri AI yang diketengahkan oleh Microsoft yang membolehkan pengguna mencari maklumat lama pada komputer riba anda masih belum diperkenalkan lagi, dan kebanyakan ciri lain seperti Copilot khususnya masih memerlukan sambungan internet untuk digunakan, dan jarang sekali memanfaatkan kuasa pemprosesan AI dalam komputer.

Walaupun begitu, Acer dilihat telah memperkenalkan beberapa fungsi AI mereka tersendiri, seperti pada kamera webcam dan juga mikrofon terbina untuk memastikan kualiti rakaman video dan audio adalah yang sebaik yang mungkin.

Selain daripada itu, terdapat juga Acer User Sensing 2.0 yang merumahkan beberapa ciri seperti Auto Lock dan Wake on Approach yang mengunci komputer riba apabila kamera mengesan anda meninggalkan komputer riba, dan melog masuk secara automatik apabila ia mengesan kehadiran anda.

Ciri Adaptive Dimming juga menggunakan kamera untuk mengurangkan nilai kecerahan skrin apabila ia mengesan anda tidak memandang kearah skrin untuk mengurangkan penggunaan bateri dan juga untuk memastikan ia sukar untuk orang lain melihat kandungan skrin.

Acer Swift 14 AI juga hadir dengan satu gimik “lampu AI” pada bahagian pada sesentuh yang akan menyala apabila komponen NPU digunakan untuk tujuan kecerdasan buatan. Anehnya, selama saya menggunakan komputer riba ini, tidak pernah sekali pun lampu ini menyala, walaupun menggunakan ciri AI seperti Copilot.

Penanda Aras

Berikut adalah beberapa ujian penanda-aras yang telah kami gunakan untuk memperlihatkan dan menilai prestasi komputer riba ini.

PCMark 10

Geekbench CPU

Geekbench GPU

3DMark WIld Life

Bateri

Satu “kekurangan” yang tampil pada Acer Swift 14 AI ialah ia tampil dengan bateri bersaiz 65Wh sahaja, berbanding dengan 72Wh yang diperlihatkan pada komputer riba ASUS Zenbook S14. Dalam sepanjang dua minggu saya menggunakan komputer riba ini, saya dapati bahawa saya boleh mendapatkan jangka hayat bateri selama 10-11 jam dengan satu pengecasan penuh, bergantung kepada corak penggunaan komputer riba.

Untuk hari-hari di mana saya secara lazimnya akan menggunakan komputer riba ini khusus untuk tujuan menulis artikel dan menyunting gambar di Amanz, ya saya boleh mendapatkan sekitar 10-11 jam dengan satu pengecasan penuh.

Akan tetapi, jika saya menambahkan penggunaan tersebut dengan tontonan video dan sebagainya, jangkahayat tersebut dilihat menurun sedikit ke 9 ke 10 jam. Ini adalah dengan nilai kecerahan paparan diturunkan kepada sekitar 30 peratus kecerahan. Ini bukan satu masalah untuk saya kerana paparan OLED dengan 500 nit cukup cerah sekali walaupun ia ditetapkan pada nilai kecerahan yang rendah.

Saya pasti bahawa dengan pengubahsuaian tetapan kuasa dan kecerahan paparan, jangkahayat bateri komputer riba ini dapat ditingkatkan lagi, tetapi sepanjang tempoh penggunaan saya, inilah yang terbaik saya dapat daripadanya.

Ada Apa Dalam Kotak?

Ini adalah apa yang hadir didalam kotak komputer riba ini apabila anda membeli sebuah Acer Swift 14 AI.

  • 1x Acer Swift 14 AI
  • 1x Pengecas USB Type-C 100W
  • 1x Buku manual

Penutup

Pada harga RM4999, Acer Swift 14 AI memperlihatkan bahawa sebuah komputer riba kelas produktiviti premium yang tampil dengan penawaran cip pemprosesan terbaru tidak semestinya perlu hadir dengan tanda harga yang tinggi.

Untuk tujuan produktiviti pejabat dan riadah ringkas, komputer riba ini boleh dilihat sebagai sebuah pakej yang lengkap dari segi prestasi, ketahanan bateri dan betapa mudahnya untuk pengguna membawa dan menggunakan komputer riba ini dari mana-mana.

Penggunaan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V, khususnya Intel Core Ultra 7 285V untuk model ini dilihat sangat sesuai, dan bagi saya, ini adalah pilihan komputer riba produktiviti Microsoft Windows terbaik dari segi spesifikasi dan juga tanda harga di pasaran sekarang.

Pro:

  • Spesifikasi baik untuk produktiviti pejabat
  • Jangka hayat bateri yang baik
  • Tanda harga
  • Rekaan nipis dan ringan
  • Skrin terang

Kontra:

  • Kekunci plastik yang rasa murah
  • Gimik lampu AI yang tidak begitu berguna

Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply